Tingkatkan Kewangan Anda: Penduan Siswazah Muda Mengurus Wang dan Melabur Secara Bijak di Era Digital

Tingkatkan Kewangan Anda: Penduan Siswazah Muda Mengurus Wang dan Melabur Secara Bijak di Era Digital 


 Siswazah muda adalah aset paling berharga dalam sesebuah negara. Tanpa kehadiran para siswazah yang bijak pandai ini, negara pastinya tidak akan mampu memaksimumkan pelbagai usaha yang telah dilakukan untuk memajukan negara. Mereka adalah golongan pelapis yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara di masa hadapan.



Fresh graduate
gambar sekadar hiasan 


 Justeru itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk memberikan tumpuan yang penuh kepada golongan pelapis ini. Salah satu bukti  nyata dapat dilihat dalam bajet 2023 yang telah dibentangkan tidak lama dahulu. Peruntukan sebanyak lebih daripada RM55 Billion telah diberikan kepada Kementerian pendidikan, yang menjadi  saksi bahawa kerajaan sangat menitikberatkan golongan ini sebagai golongan yang sangat berharga kepada negara.


Melalui peruntukkan yang besar ini, jelas bahawa kerajaan amat menitikberatkan soal pendidikan daripada peringkat akar umbi. Hasil akhirnya adalah golongan siswazah muda. Oleh itu, golongan siswazah baru seharusnya memiliki asas yang kukuh, terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan kewangan.


 Lantas, tindakan yang tepat haruslah diambil untuk mempelajari asas kewangan yang kukuh dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Salah satu cara untuk memiliki asas kewangan yang kukuh adalah melalui perancangan yang teliti dengan matlamat yang jelas.


Perancangan Kewangan Digital: Manfaatkan Teknologi 


 Di era digital kini, terdapat banyak aplikasi dan platform kewangan yang memudahkan golongan siswazah muda untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik. Aplikasi seperti Touch 'n Go eWallet, Boost, dan ShopeePay bukan sahaja memberi kemudahan untuk pembayaran tanpa tunai, tetapi juga menawarkan pelbagai promosi dan cashback yang boleh dimanfaatkan. Dengan menggunakan aplikasi ini, anda boleh mengawal perbelanjaan, melakukan simpanan, dan bahkan melabur dalam instrumen kewangan secara dalam talian.


 Selain itu, platform seperti Rakuten Trade atau StashAway semakin popular dalam kalangan golongan muda yang berminat untuk melabur tanpa perlu melalui proses yang rumit. Sebagai siswazah muda, melabur dalam saham atau ETF ( Exchange Trade Funds) melalui platform-platform ini membolehkan anda memperoleh pulangan yang lebih tinggi, dengan risiko yang lebih terurus.



Berhati-hati dengan Pencurian Identiti dan Penipuan Kewangan 


 Walaupun teknologi menawarkan banyak manfaat, ia juga datang dengan risiko. Banyak scam atau penipuan kewangan dalam talian yang kini semakin berleluasa. Oleh itu, penting bagi siswazah muda untuk sentiasa berhati-hati apabila menggunakan platform kewangan digital. Pastikan anda menggunakan perkhidmatan yang sah dan diiktiraf oleh pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia ( BNM ) atau Suruhanjaya Sekuriti ( SC ).


 Sebagai contoh, penipuan melibatkan Cryptocurrency dan Forex Trading kini semakin popular di kalangan golongan muda yang ingin cepat kaya. Sebelum melibatkan diri dalam mana-mana pelaburan yang terlalu menjanjikan pulangan tinggi, pastikan anda melakukan penyelidikan yang mendalam dan mendapat nasihat daripada pakar kewangan.



Meningkatkan Kemahiran Kewangan Melalui Kursus Dalam Talian 


 Selain daripada menabung dan melabur, penting juga untuk meningkatkan pengetahuan kewangan melalui kursus dalam talian. Banyak platform seperti Coursera, Udemy, dan Skillshare menawarkan kursus kewangan peribadi dan pelaburan dengan harga yang berpatutan atau percuma. Dengan mempelajari topik seperti pengurusan bajet, pelaburan saham, dan pengurusan risiko, anda dapat memperkukuhkan lagi asas kewangan yang kukuh dan mampu merancang masa depan dengan lebih baik.



Memanfaatkan E-Dagang untuk Menjana Pendapatan Sampingan 


 Pada masa kini, banyak siswazah muda yang menggunakan platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada untuk menjana pendapatan sampingan. Menjual produk sendiri atau menjadi dropshipper adalah antara cara yang paling popular. Selain itu, perkhidmatan freelance seperti Upwork atau Fiverr juga memberi peluang kepada siswazah untuk bekerja secara bebas, menawarkan kemahiran mereka dalam bidang seperti reka bentuk grafik, penulisan, atau pemasaran digital. Menjana pendapatan sampingan ini dapat membantu menambah kewangan peribadi anda, selain daripada gaji utama.



Menghadapi Inflasi dan Kos Hidup Yang Meningkat 


Salah satu cabaran terbesar bagi siswazah muda pada zaman ini adalah inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat. Dalam menghadapi situasi ini, adalah penting untuk bijak dalam merancang kewangan. Siswazah muda boleh mengurangkan perbelanjaan dengan memilih gaya hidup yang lebih sederhana, seperti memasak di rumah berbanding makan di luar, atau membeli barangan keperluan dengan harga yang lebih berpatutan melalui platform e-dagang yang menawarkan diskaun dan promosi menarik.



Tiada Jalan Singkat Ke Arah Kekayaan 


 Harus diingat, tiada jalan singkat atau teknik ajaib untuk menjadi kaya. Kekayaan adalah hasil daripada proses panjang yang berterusan. Jika anda bercita-cita untuk menjadi kaya, tiga perkara berikut wajib dielakkan:


1. Berjoli Sakan Dengan Wang Gaji 


 Wang hasil gaji pertama yang diperoleh daripada titik peluh sendiri seharusnya disimpan dahulu, barulah baki boleh dibelanjakan. Jangan amalkan prinsip "reward diri sendiri" dengan berbelanja terlebih dahulu dan menyimpan hanya jika ada wang lebih. Cara yang betul adalah menyimpan dahulu, kemudian barulah berbelanja. Menyimpan adalah asas kewangan yang kukuh.


2. Terburu-buru Membeli Kereta Idaman 


Kesilapan ini sering dilakukan oleh siswazah muda. Terlalu terburu-buru membeli kereta idaman yang mahal, dengan perjanjian jual beli yang kadangkala memakan masa sehingga sembilan tahun. Perlu diingat, kos penyelenggaraan kereta dan petrol bukanlah murah. Tanpa perancangan kewangan yang betul, ia boleh memberi kesan yang buruk pada kewangan anda.


3. Mengamalkan Budaya ' Biar Papa Asal Bergaya '


 Jangan terperangkap dengan budaya ini. Sentiasa berbelanja secara bijak, hanya pada keperluan dan bukannya kehendak. Apa gunanya memiliki dompet yang mahal, tetapi isinya hanya RM10? Lebih baik menggunakan dompet yang murah, tetapi isinya beribu.



Kunci Kekayaan: Menyimpan dan Melabur 


Kunci utama untuk menjadi kaya adalah dengan mengamalkan amalan berjimat cermat dan menyimpan wang. Namun, menabung dan menyimpan wang dalam bank sahaja tidak mencukupi untuk menjadi kaya. Anda perlu tahu ke mana harus meletakkan simpanan anda.

Simpanan anda seharusnya dilaburkan dalam instrumen pelaburan yang memberikan pulangan tinggi dalam jangka masa panjang.

 Namun, jangan melabur secara sembarangan. Pastikan anda melabur dalam instrumen pelaburan yang diiktiraf dan terjamin, seperti Amanah Saham Bumiputera ( ASB ). Setelah memperoleh hasil, barulah difikirkan instrumen pelaburan lain yang sesuai untuk anda pada masa akan datang.

 Jika anda tidak memulakan tabiat menyimpan dan melabur sejak awal, anda berisiko ketinggalan dan terlepas peluang untuk menjadi kaya, hanya kerana alasan tiada wang simpanan yang mencukupi. Rugi kan?


Adakah Anda Belajar Sesuatu Di Sini?

Sila tinggalkan komen anda dan kongsikan artikel ini dengan kawan-kawan dan keluarga tercinta.


 













Ulasan