Pengat Special Dapur Bujang Punya Cerita

 Pengat Special Dapur Bujang Punya Cerita



Keenakan Pengat: Hidangan Tradisional yang Menggoda Selera 

Cerita tentang keenakan pengat ini memang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu terutamanya yang tinggal di Malaysia. Aroma dan rasanya yang memikat memang tidak dapat disangkal lagi, memang 'power'!!

  Sajian ini sangat sesuai dijadikan sebagai juadah pencuci mulut dan amat digemari oleh masyarakat melayu, tidak kira peringkat umur dari kanak-kanak hingga orang dewasa. Bukan hanya orang Melayu sahaja yang menggemarinya, malah kaum-kaum lain juga turut menyukainya.

 Setiap kali bulan Ramadhan tiba, rating juadah ini pasti melonjak naik. Di bazar, Ramadhan, pengat mudah ditemui dan sering menjadi pilihan utama. Peniaga sering 'tak menang tangan' melayani pelanggan yang pastinya akan mencari pengat ni.

 Bagi aku, pengat adalah hidangan yang sempoi dan sangat menyegarkan untuk membuka selera setelah seharian berpuasa. Ditambah pula dengan roti Gardenia yang dicicah bersama pengat, pergh! Memang 'confirm' la tak cari lain. Seperti kata orang tua dulu-dulu " kalau mak mertua lalu kat sebelah pun tak perasan". Memang hebat, kan?

Adakah susah untuk membuat pengat ini?

 Jawapannya, sudah tentulah tidak! Pengat adalah sajian yang mudah dan sedap, menggunakan bahan-bahan yang minimal. Anda tidak perlu menjadi pakar memasak untuk mencuba resepi ini. Nak tahu caranya? Jom, kita semak bahan-bahan dan cara-cara membuatnya.


Bahan-bahan : 


1. Lima biji keledek ungu

2. Lima biji pisang Cavendish

3. 150 gram gula merah

4. Satu genggam sagu halus putih

5. Dua senduk gula pasir

6. Dua helai daun pandan

7. Dua kotak santan bersaiz kecil


 Memang mudah dan murah, bukan? Sesuai untuk mereka yang baru mula cuba-cuba memasak m walaupun bahan-bahannya mudah didapati, kepuasan yang kita rasa bila masak sendiri sangat berbaloi.

 Seterusnya kita lanjutkan pada cara membuatnya. Di jamin mesra newbie dan gerenti puas hati.


Cara-cara Membuat :


1. Menyediakan bahan utama 

 Ambil lah keledek ungu dan pisang Cavendish tadi kupas kulitnya, bersihkan dan potong kecil-kecil.



foto pisang cavendish yang telah dipotong kecil -kecil


 2. Rebus Keledek 

 Masukkan ubi keledek yang telah dibersihkan ke dalam periuk yang sederhana besar dan rebus. Pastikan paras air yang digunakan mampu menutupi keseluruhan bahagian ubi keledek tadi ya.



3. Cairkan gula merah 

   Cairkan 150 gram gula merah dengan sedikit air dan kacau sehingga larut.


4. Gabungkan bahan-bahan 

 Masukkan larutan gula merah, pisang Cavendish, gula pasir, sagu putih yang telah direndam, daun pandan ke dalam rebusan keledek. Teruskan merebus sehingga keledek menjadi lembut.



foto pengat yang sedang dalam pembikinan 



5. Masukkan santan 

 Setelah keledek cukup lembut, masukkan dua kotak santan dan kacau rata. Jika rasa kurang manis, boleh tambahkan sedikit gula mengikut citarasa. Rebus lagi selama lima minit, dan pengat pun siap!


Siap dihidang!

 Pengat ini boleh dihidangkan sama ada panas atau sejuk, mengikut kesukaan masing-masing.



foto pengat yang sudah siap dimasak 



Tips: 

1. Hidangan ini sedap juga dimakan bersama roti putih.

2. Boleh juga di tambah isi jagung untuk rasa yang lebih enak.




Diharapkan perkongsian ini dapat memberikan manfaat, bukan hanya kepada golongan bujang, tetapi kepada sesiapa sahaja yang ingin menjaga warisan resepi tradisional ini supaya tidak hilang ditelan zaman.  


Langkah pertama dalam mencintai resepi tradisional adalah dengan mempelajarinya, supaya 'tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan'. 



Anda belajar sesuatu di sini?

Sila tinggalkan komen anda dan jangan lupa kongsikan artikel ini!









Ulasan