Kisah Seram! " Cikgu... Kenapa Dengan Milah Tu?? "
Assalamualaikum dan hai pembaca blog yang aku hormati!
Kemerduan vokal serak basah milik Ratu Rock negara, Ella memang tidak dapat disangkalkan lagi. Keunikan suara yang dimiliki Ella ini tiada duanya. Berilah apa sahaja jenis lagu kepadanya, pasti hasilnya tidak akan pernah mengecewakan.
Eh, kejap.. kejap.. penulis ni nak cerita kisah penyanyi Ella ke? Kisah seram ni??
" Hahaha.. sabarlah sekejap. Baiklah, izinkan aku menyambung semula penceritaan kisah seram aku ni.. boleh? "
Detik Tak Terlupakan di Konsert Ella
Kelantangan suaranya ketika menjayakan Konsert Jilid Akhir : Ella Puteri Kota, pada bulan Jun 2023 yang lalu di Axiata Arena Bukit Jalil, telah memukau dan masih bergema lagi dalam kepala aku ni. Memang puas hati, apabila dapat melihat sendiri ' the still Living Legend ' ini beraksi. Paling tidak dapat aku lupakan apabila di awal pembukaan konsert Ella itu dimulakan dengan lagu ulek mayang, tiba-tiba membuatkan semua bulu tengkuk aku ini meremang.
Seram sejuk seluruh badan ini aku rasakan. Walaupun lagu ini dinyanyikan dalam versi yang lebih moden; rock. Perasaan seram itu memang aku masih tidak dapat nak buangkan setiap kali mendengarnya.
Sedikit info ringkas, lagu ulek mayang ini memang sangat popular dalam tarian tradisional melayu, Negeri Terengganu. Ulek mayang juga dikatakan merupakan sebuah tarian persembahan yang dilakukan dalam upacara rawatan kuno. Malah lagu ini juga dikatakan mengandungi unsur-unsur pemujaan di dalamnya. Pada aku lagu ulek mayang ini sebenarnya sangat indah, diiringi pula dengan alatan muzik seperti gendang, gong, biola dan akordion.
Kalau benar indah, mengapa pula boleh sampai membuatkan aku meremang bulu tengkuk dan rasa seram sejuk?
Dan, apakah kaitannya dengan kisah seram aku? Mari teruskan membaca....
 |
foto sekadar hiasan |
Kisah Seram Bermula
Pernah suatu ketika dahulu, sewaktu aku berada dalam darjah empat, sekolah aku ni telah mengadakan satu pertandingan pencarian bakat sekolah. Sesiapa yang memenangi pertandingan ini nanti, boleh menjadi wakil sekolah kami untuk bertanding dengan sekolah-sekolah yang lain pula.
Bagi yang berminat untuk masuk bertanding, kami murid-murid bebas untuk memilih sama ada untuk menyanyi, menari, berlakon atau hendak melakukan ketiga-tiganya sekali pun dipersilakan. Murid-murid semua termasuk dengan aku sekali memang rasa teruja sangatlah pada ketika itu.
Kalau anda nak tahu, aku dan rakan-rakan aku pun turut sama mengambil bahagian... Ehem, saja nak memeriahkan acara kata orang. Selain kami ada lagi lima buah kumpulan lain-lain kategori. Kalau tak silap aku ada seorang peserta solo, yang memilih nyanyian. Kami diberi masa dua minggu untuk berlatih sebelum hari pertandingan.
Kami semua para peserta yang mengambil bahagian kebiasaannya akan mengadakan latihan selepas tamat sesi persekolahan. Kebiasaannya aku dan rakan-rakan aku akan pulang dahulu ke rumah untuk mandi dan makan tengahari.
Selepas itu kami akan sama-sama berjalan kaki semula ke sekolah untuk sesi latihan untuk pertandingan nanti. Kumpulan kami memilih untuk membuat lakonan. Kami memilih untuk mengadakan latihan dalam sebuah kelas yang memang kosong.
Kelas kosong yang kami gunakan untuk berlatih ini terletak bersebelahan dengan dewan sekolah yang bakal digunakan pada hari pertandingan ini diadakan nanti. Setiap kali kami tiba semula di sekolah untuk sesi latihan, pasti kami akan melintasi di hadapan bangunan dewan sekolah ini.
Dewan sekolah ini pula, telah digunakan oleh peserta-peserta yang memilih untuk melakukan persembahan tarian kerana keluasannya. Mereka kumpulan-kumpulan yang memilih untuk melakukan tarian akan bergilir-gilir untuk menggunakan dewan ini. Ada sebanyak tiga buah kumpulan yang memilih untuk membuat persembahan tarian untuk pertandingan ini.
Di antara ketiga-tiga kumpulan itu, kumpulan kak Milah lah yang paling aku sukai sekali. Setiap kali mereka berlatih, lagu yang dimainkan untuk mengiringi persembahan tarian mereka terdengar sangat mengasyikkan.
Kak Milah murid tahun enam, cantik orangnya. Setiap kali berkesempatan pasti aku akan mencuri dengar dan melihat. Bukan kak Milahnya.. persembahan tarian ulek mayang yang mereka tengah berlatih tu. Haha.. Namun, aku tidak tahu bahawa suatu kejadian menakutkan bakal berlaku.
Kejadian Aneh di Dewan Sekolah
Seminggu sebelum hari pertandingan tiba, ketika kumpulan kami sedang mengadakan sesi latihan, kami di kejutkan dengan suara seorang murid perempuan berteriak-teriak sambil meminta tolong.
" Tolongg... Tolonggg.."
"Cikgu... Tolong .. Tak tau kenapa dengan Milah tu.. "
beritahu murid tahun enam itu kepada seorang guru yang kebetulan, memang menuju ke arah dewan berkenaan setelah mendengar kekecohan yang berlaku. Tanpa menunggu dengan lebih lama, guru tersebut terus melajukan langkahnya ke arah dewan sekolah . Aku dan rakan-rakan mengekori dari belakang. Masing-masing dihimpit dengan satu pertanyaan, apakah yang telah terjadi kepada kak Milah?
🟥 Apakah yang telah berlaku pada kak Milah??
Setelah kami melangkah masuk ke dalam dewan, lagu ulek mayang yang aku gemari tu masih terpasang daripada sebuah radio yang digunakan. (Zaman aku dulu masih guna kaset ya).
Nun... di atas pentas pula kami dapat melihat kak Milah berseorangan, sedang menari dengan asyik mengikut lagu ulek mayang tersebut.
Lagaknya memang ibarat sang puteri zaman dahulu kala menari. Jari-jarinya pun kelihatan lembut sahaja meliuk mengikut rentak lagu. Dia seakan dirasuk dengan tarian itu. Tiada siapa yang berani nak naik untuk menutup radio yang diletakkan di atas pentas, bersebelahan dengan kak Milah.
Sedang kak Milah yang seakan dirasuk menari itu, menari dengan penuh asyik, tiba-tiba... sahaja kak Milah ketawa mengilai sambil meneruskan tariannya.
Apalagi habis berlari lah kawan-kawan kumpulannya bersama murid-murid dari kumpulan menari yang lain keluar dewan. Hanya tinggal aku, rakan-rakan aku dan cikgu Zamri yang masih kekal berada di dalam dewan. Tidak takutkah kami? Mahunya tidak!
Tapi walaupun aku merasa sangat seram masa tu, perasaan ingin tahu aku telah mengatasi segalanya. Kami memilih untuk berdiri berhampiran dengan pintu keluar dewan, untuk memantau keadaan sambil menunggu kedatangan ustaz Rahmat.
Kedatangan Ustaz Rahmat
Jam ketika itu menunjukkan pukul 3.45 petang. Ustaz Rahmat, guru agama kami, akhirnya tiba. Beliau segera membaca ayat-ayat Al-Qur'an dengan tenang, dan ketika itu, lagu "ulek mayang" yang sedang dimainkan oleh radio tiba-tiba tamat.
Walaupun telah tamat lagu tersebut, kak Milah kami lihat masih terus menari sambil kepalanya pula digoyang-goyangkan ke kiri dan ke kanan. Kasihan pula kami melihatkan keadaan kak Milah, yang sudah kelihatan kepenatan menari. Keadaan semakin mencemaskan, namun kami tidak berani untuk menghampiri.
Ustaz Rahmat bersama Cikgu Zamri dan dua orang guru perempuan naik ke atas pentas, memberi salam, dan mula membacakan ayat-ayat suci Al-Qur'an. Kak Milah yang tadinya ketawa mengilai kini berguling-guling pula di atas lantai pentas, langsung dipegang tangan dan kakinya. Dalam keadaan dirasuk itu, kak Milah berteriak dan menangis teresak-esak, pula sambil mengatakan,
" Aku nak balik!!!!Aku nak balik!!!!!"
Disingkatkan ceritanya, akhirnya kak Milah telah dipulihkan dengan izin Allah oleh ustaz Rahmat. Peristiwa ini telah lama sangat berlaku, banyak nama orang yang terlibat pun aku dah ingat-ingat lupa. Tapi, seingat aku pertandingan tetap diteruskan tetapi kumpulan kak Milah telah menarik diri daripada bertanding.
Alasannya ayah kepada kak Milah, pak cik Seman tak mengizinkan kak Milah untuk bertanding. Oh, ya.. aku dan ahli kumpulan aku tetap masuk bertanding. Kami telah mendapat tempat keempat dalam pertandingan ini. Sahajalah nak beritahu, haha..
Penutup: Pesan dan Pengajaran
Aku menulis cerita ini dengan niat hanya untuk berkongsi cerita pengalaman peribadi. Tiada niat untuk membuka aib sesiapa atau pun memburuk-burukkan nama tarian tradisional kegemaran aku ini.
Seperti kata aku di permulaan cerita ini, aku sukakan lagu ulek mayang tapi, setiap kali lagu ini tiba-tiba muncul di fikiran, hati aku terus berzikir Allahuakbar! berulang kali. Mungkin perasaan seram terhadap lagu ini susah aku nak padamkan dari ingatan, disebabkan pengalaman silam.
Akhir kata, aku ingin berpesan:
" Berhibur itu tiada salahnya tapi jangan sampai kita melupakan Allah "
Semoga cerita ini memberi pengajaran kepada kita semua, dan semoga kita sentiasa diberi perlindungan oleh-Nya. Terima kasih kerana membaca, dan jika anda ada sebarang pertanyaan, jangan segan untuk meninggalkan komen.
Assalamualaikum dan semoga kita bertemu lagi!
Ulasan