Throwback #2: Cikgu Paling Garang, Tapi Paling Saya Rindukan
Throwback #2: Cikgu Paling Garang, Tapi Paling Saya Rindukan
📝Nota penulis:
Kalau korang dah baca Throwback #1: Kenangan Zaman Sekolah Rendah - Dari Kelas Kuning ke Wakil Hoki Sekolah ( Dan apa Saya Belajar Darinya), korang mesti tahu aku dah janji nak cerita pasal cikgu yang paling garang tapi paling aku rindukan.
Nah, inilah kisahnya _ kisah seorang guru yang pernah buat aku gerun, tapi tanpa sedar dialah juga antara yang paling banyak menyumbang pada siapa aku hari ini. Aku ucapkan selamat membaca kepada anda semua. Terima kasih kerana sabar menanti!
Dulu tempat ni jadi pentas malu bila datang lambat... hari ni jadi tempat rindu paling dalam. |
Pagi tadi, aku keluar rumah macam biasa. Jalan kaki ke gerai sarapan di hujung kampung dah jadi rutin sejak beberapa bulan lepas. Bukan sekadar nak beli nasi lemak atau kuih-muih, tapi sebenarnya aku suka suasana pagi. Sejuk nyaman, matahari baru nak naik, bunyi burung berkicauan....
Semua tu macam terapi semula jadi yang percuma. Kadang-kadang, dalam langkah yang perlahan tu, hati sempat merenung banyak perkara.
Hari ini, entah mengapa, kaki aku macam ada fikiran sendiri, membawa aku melangkah melewati satu simpang lain_ simpang yang menghala ke sekolah rendah tempat aku mula mengenal alam persekolahan dahulu.
Dari jauh, aku dah nampak bangunan sekolah tu. Berbeza sangat dari dulu. Kalau dulu, sekolah kayu dua tingkat, sekarang dah jadi bangunan batu moden dengan warna ceria. Tapi satu masih sama_ tapak perhimpunan pagi. Masih di tempat asal. Masih kosong tapi penuh kenangan.
Terus aku teringat satu insiden. Hari Isnin, aku datang lambat. Pagar dah tutup, guard sekolah cepat catat nama aku dan beberapa orang kawan yang sama nasib. Kami dihukum berdiri di hadapan perhimpunan sampai habis ucapan guru besar. Malu? Jangan cakap. Rasa macam semua mata tengok aku _ padahal orang pun tak heran. Tapi biasalah budak sekolah, rasa dunia berputar bila malu.
Berdiri depan perhimpunan sebab lambat... masa tu malu, sekarang jadi kenangan yang paling kelakar dan bermakna. |
Dan dari peristiwa itu, memori terus melompat ke satu watak yang sangat besar pengaruhnya dalam hidup aku _ Cikgu Devi, cikgu Bahasa Inggeris.
Kalau nak ikutkan, dia memang cikgu paling garang dalam sejarah hidup aku. Tegas, lantang, dan tak pernah kompromi dengan kerja rumah. Kalau tak siap kerja, bersedialah untuk "lecture" yang boleh buat kau insaf _ sekejap je insafnya, sebab esok lupa balik.😅
Tapi... Itulah. Dalam garang dia, tersembunyi satu benda yang aku cuma faham bila dah dewasa: keperihatinan dan kasih sayang.
Dia bukan garang sebab benci. Dia garang sebab dia nak kami berjaya. Dia tahu betapa pentingnya Bahasa Inggeris dalam hidup. Masa tu, aku memang tak minat langsung. Tapi sebab 'takut' kat dia, aku mula ambil berat. Mula buat latihan. Mula baca buku lebih. Dan akhirnya, aku jadi salah seorang daripada lima pelajar yang skor tinggi dalam subjek tu masa UPSR.
Tak pernah aku sangka, dari 'takut', datangnya kejayaan kecil yang jadi titik tolak aku ke arah lebih baik.
Sekarang bila dah dewasa, aku tertanya-tanya _ di mana agaknya Cikgu Devi sekarang? Masih mengajar? Dah bersara? Sihat ke dia? Rasa terhutang budi yang tak pernah sempat aku balas.
Kadang-kadang, Garang Itu Sayang
Kalau kau ada cikgu yang dulu garang macam singa, tapi sekarang bila dikenang, buat kau tersenyum dan rindu _ kau bukan keseorangan.
Kita semua ada satu atau dua figura atau role model dalam hidup kita yang mengubah kita tanpa kita sedar. Waktu tu kita benci. Tapi hari ini, kita sedar _ kalau bukan kerana mereka, kita mungkin bukan siapa kita hari ini.
Terima kasih, cikgu. Garang cikgu dulu, jadi lembut dalam kenangan saya sekarang.
Jom Kongsi: Siapa Cikgu Paling Anda Rindukan?
Kalau korang ada cikgu yang korang masih ingat_ yang tegas, garang, tapi buat korang jadi siapa korang hari ini _ kongsi kat ruangan komen. Atau kalau dia masih ada di media sosial, tag dia. Biar dia tahu jasa dia tak dilupakan.
📌 Dan kalau korang rasa kisah ni kena mengena dengan pengalaman korang _ tekan butang share ya. Biar nostalgia ni sampai pada lebih ramai orang. Mungkin orang lain pun tengah rindu pada cikgu lama mereka.
**Nota: semua imej dalam artikel ini dihasilkan secara digital untuk tujuan ilustrasi sahaja**
Ulasan