Pagi, Pokok, dan Sebuah Kehidupan ( Catatan Awal Pagi #2)

🌅Pagi, Pokok, dan Sebuah Kehidupan 

(Catatan Awal Pagi #2)


"Bahagia tidak perlu datang dalam bentuk yang besar. Kadang, cukup dengan melihat pokok yang membesar atau senyuman seorang ibu."



Pemandangan pagi yang damai dengan matahari mulai terbit
Pagi yang damai di kampung, di bawah langit yang luas. 




Pengenalan 

Pagi hadir seperti helaian baru dalam buku kehidupan. Dalam sunyinya, aku temui suara hati sendiri. Sejak aku memilih untuk pulang ke kampung dan menjaga emak, hidup tidak lagi sesibuk seperti dulu. Tapi entah bagaimana, aku temui satu ruang bahagia yang selama ini tidak aku sedari aku perlukan.

Hidup kini lebih perlahan, namun setiap detiknya terasa lebih dalam. Dalam damai pagi ini, di bawah langit yang cerah dan udara yang segar, aku belajar menghargai hal-hal kecil _ secawan kopi panas, daun yang basah disiram embun, senyuman emak yang memandangku dari jendela.

Ini catatan kecilku, ditulis dari halaman rumah dan dari hati yang sedang belajar tenang. Mungkin ringkas, tapi penuh rasa. Semoga ia menyentuh sesiapa yang sedang mencari makna dalam kesederhanaan hidup.


Catatan Penuh:

Pagi yang indah ini membuatkan aku tersenyum sendiri. Macam lirik lagu pula rasanya. Ada sesuatu tentang pagi ini yang tenang dan cerah yang mampu mengusik perasaan dengan cara yang sukar dijelaskan. Suasana hening, udara segar menyapa wajah, dan matahari yang baru terbit memberi satu harapan baru _ seolah-olah alam semesta sedang menghulurkan salam perkenalan setiap kali aku membuka mata.

Jam baru menunjukkan pukul lapan, dan aku sudah pun memulakan rutin pagiku _ menyiram pokok-pokok bunga yang kian mekar di sekeliling rumah. Pokok cili yang aku tanam sendiri juga mula mengeluarkan hasil. Satu demi satu buah merah menyala muncul dicelah dedaun hijau. Ada satu rasa puas yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Terasa sangat berbaloi. Benarlah kata orang tua-tua, berbudi pada tanah, pasti ada hasilnya.




Tangan menyiram bunga dengan penyiram logam di halaman rumah
Aktiviti pagi yang mudah, 
namun penuh ketenangan _ menyiram pokok-pokok yang di tanam sendiri. 



Lebih setahun lalu, aku ambil keputusan besar _ berhenti kerja dan pulang ke kampung demi menjaga emak. Ia bukan mudah, tapi ia adalah keputusan yang penuh makna. Di sinilah aku belajar erti hidup sebenar. Dari sibuk mengejar masa di kota, kini aku mula menghargai waktu yang bergerak perlahan.

Ini mengingatkan aku pada catatan awal pagi yang pertama, Renungan dalam Kesunyian, di mana aku bertanya pada diri sendiri, adakah budi aku kepada mak sudah cukup untuk membalas segala pengorbanannya.

Sudah tentu, rasa bosan itu ada. Kadang-kadang ia datang tanpa diundang, terutama ketika aku rindu suasana kerja, rindu berbual kosong dengan rakan sekerja, atau rindu duduk minum kopi sambil memerhati manusia lalu-lalang. Tapi aku percaya, setiap fasa kehidupan ada keindahannya yang tersendiri. Dan fasa ini, walaupun sunyi, hadir dengan pelajaran yang sangat berharga.

Salah satu perkara yang aku pelajari adalah bagaimana alam memberi ketenangan yang tidak mampu ditawarkan oleh teknologi atau kemewahan. Pokok-pokok yang kutanam bukan sahaja menghijaukan halaman rumah, tetapi juga hatiku. Aku mula menyedari bahawa menjaga tumbuhan sebenarnya turut 'menjaga' jiwa. Ia mendidik aku tentang kesabaran, konsistensi dan kasih sayang.

Bayangkan, dari benih kecil yang ditanam dengan penuh harapan, lalu disiram dan dijaga setiap hari, akhirnya tumbuh segar dan mula mengeluarkan hasil. Ia seperti kehidupan manusia juga _ semuanya bermula dari usaha kecil yang dilakukan secara konsisten. Setiap kali melihat pokok cili, ros, atau pokok bunga kertas yang mula mekar, aku teringat bahawa segala yang baik dalam hidup ini memerlukan masa. Tiada yang datang sekelip mata.



Pokok bunga ros merah yang sedang mekar
Setiap hasil dari tanah ini membawa bersama bahagia yang sukar digambarkan. 



Kadang-kadang, aku terfikir, bagaimana jika setiap orang daripada kita menanam walau sebatang pokok? Mungkin dunia ini tidak akan sepanas sekarang. Pemanasan global bukan lagi ancaman masa depan _ ia sudah pun berlaku. Dan walaupun aku bukan saintis atau ahli politik, aku percaya setiap tindakan kecil kita memberi impak. Mungkin pokok yang kutanam ini tidak mampu mengubah dunia, tapi sekurang-kurangnya aku telah mula. Dan jika ramai yang mula bersama-sama, pasti akan ada perubahan.

Cahaya matahari yang semakin terik memancar pagi ini seakan mengerti perasaan yang bermain dalam hatiku. Ada satu perasaan bahagia yang lahir tanpa sebab besar. Kadang-kadang, kita tidak perlukan peristiwa yang gah atau pencapaian besar untuk merasa bahagia. Cukup dengan melihat emak tersenyum sewaktu aku bancuh air paginya, cukup dengan mendengar bunyi air paip sewaktu aku siram pokok-pokok yang aku tanam sendiri. Itu sudah cukup membahagiakan.



Tangan memegang secawan kopi di beranda rumah
Kadang-kadang  secawan kopi di pagi hari lebih berharga daripada seribu kejayaan.


Aku mula belajar, bahawa kebahagiaan sebenarnya sangat mudah. Ia ada dalam perkara-perkara kecil yang selalu kita abaikan. Bila kita betul-betul 'hadir' dalam kehidupan, bukan sekadar menjalani hari secara autopilot, kita akan mula menyedari betapa indahnya hidup ini walaupun tanpa kemewahan. Kadang-kadang, kita terlalu mengejar 'sesuatu' sehingga kita lupa mensyukuri apa yang sudah ada di depan mata.

Hari ini, aku ingin mengajak sesiapa sahaja yang membaca catatan ini untuk berhenti sejenak. Tarik nafas dalam-dalam. Lihat sekeliling. Jika ada pokok, perhatikan daun-daunnya yang melambai. Jika ada insan tersayang di rumah, luangkan masa bersama. Jika ada masa terluang, pergilah ke luar dan duduk sebentar di bawah langit terbuka. Mungkin dari situ, kita semua akan mula melihat _ bahawa bahagia itu tidak jauh, malah sangat dekat. Kita hanya perlu sedikit kesedaran dan rasa syukur untuk menemuinya. 


Penutup:

Cahaya pagi ini semakin terang. Daun-daun di pokok bergoyang perlahan, seakan menyambut satu permulaan baharu. Aku di sini, masih belajar, masih mencari, masih berusaha jadi manusia yang lebih tenang dan bersyukur. Dan aku percaya, kamu juga boleh. 

Terima kasih kerana membaca. Semoga catatan pagi ini memberikan sesuatu _ walau hanya setitik inspirasi atau secebis ketenangan. Itu sudah cukup.

Ulasan