Langkau ke kandungan utama

Catatan Awal Pagi #3 Jangan Jadi Seperti Saya- Sebuah Catatan Tentang Ayah, Penyesalan dan Peluang Yang Tak Akan Kembali

🌅Catatan Awal Pagi #3 Jangan Jadi Seperti Saya - Sebuah Catatan Tentang Ayah, Penyesalan dan Peluang Yang Tak Akan Kembali

Siluet seorang lelaki berdiri menghadap matahari terbenam dilihat dari belakang menggambarkan kenangan dan perpisahan
Antara cahaya terakhir dan kenangan yang kekal


Pagi sering mengajarkan aku sesuatu yang baru _ sama ada tentang diri sendiri, tentang hidup, atau tentang insan-insan yang pernah hadir. Dalam diam dan sunyi waktu Subuh, aku mencatat apa yang hati aku simpan. Kadang-kadang berat, kadang-kadang ringan. Tapi semuanya datang dari tempat yang paling jujur dalam diri.

Catatan pagi ini terasa sedikit berbeza. Tidak seperti sebelumnya yang aku tulis dengan tenang sambil menyambut cahaya pagi. Pagi ini, aku menulis dengan dada yang sesak, mata yang masih berkaca, dan hati yang cuba memahami apa sebenarnya yang belum sembuh.

Ketika aku sujud dalam solat, aku menangis. Mula-mula perlahan, kemudian makin deras. Ia bukan kerana fizikal yang sakit, tapi kerana satu ruang dalam hati yang selama ini aku biarkan tertutup. Hari ini, aku buka kembali ruang itu_ dan aku temui papa di sana.




Siluet ayah dan anak berjalan Bersama di waktu senja
Kenangan yang tak lekang oleh masa, walau jarak yang memisahkan


Sebuah Kisah Yang Tidak Pernah Aku Luah Sepenuhnya 

Sudah hampir lima tahun papa meninggalkan dunia ini. Pemergiannya mendadak, kerana serangan jantung yang kami sekeluarga sendiri tidak tahu beliau hadapi. Tiada tanda, tiada keluhan. Tapi keputusan bedah siasat mengesahkannya.

Dan saat itulah aku benar-benar rasa kehilangan. Bukan sekadar kehilangan seorang ayah, tapi kehilangan kesempatan _ peluang untuk bertanya khabar, untuk memperbaiki, untuk memeluk dan berkata, "Maafkan aku."

Hubungan aku dan papa tidak mudah. Ia penuh kekeliruan dan luka yang tidak pernah aku rawat dengan sepenuh hati. Semuanya berubah selepas satu kemalangan pada tahun 1998 yang menyebabkan papa koma untuk beberapa ketika. Selepas beliau sedar, aku dapati papa bukan lagi orang yang sama.

Sebelum kemalangan, papa adalah lelaki yang sangat penyayang. Kami sangat rapat. Dia bukan hanya ayah, tapi juga kawan. Aku masih ingat bagaimana beliau selalu mengajak ku berjalan, berbual, dan bergelak ketawa. Hubungan kami buat ramai cemburu. Aku bangga menjadi anaknya.

Tapi selepas peristiwa itu, papa berubah. Sikapnya menjadi lebih tegang, lebih mudah marah, dan sukar didekati. Dalam tempoh itu, pernah juga aku menerima layanan yang kasar. Aku pernah menahan sakit secara senyap kerana mahu melindungi adik-adik. Namun jauh di sudut hati, aku tidak pernah membenci. Aku cuma keliru. Ke mana hilangnya papa yang aku kenal dahulu?



Bilik yang pernah digunakan ayah untuk berehat
Tempat yang menyimpan seribu satu kenangan dan cerita 


Aku Membawa Diri... Tapi Hati Tetap Tinggal Di Rumah 

Selepas beberapa tahun hidup dalam kekeliruan, aku memilih untuk membawa diri ke kota. Aku kata pada diri sendiri, aku mahu berdikari. Tapi sebenarnya, aku sedang melarikan diri. Bukan kerana lemah, tetapi kerana aku tidak tahu cara untuk menyembuhkan perasaan yang berkecamuk dalam dada.

Aku tidak tahu bagaimana hendak berkata, "Aku rindu." Aku tidak tahu bagaimana hendak kembali ke rumah dan memulakan semula. Jadi aku memilih diam. Aku memilih jarak. Dan waktu pun terus berjalan _ seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Sehinggalah satu hari, telefon berdering membawa berita yang mengubah segalanya. Papa sudah tiada. Dan sejak hari itu, aku tidak lagi menangis kerana kecewa, tetapi kerana menyesal. Aku menyesal kerana terlalu lambat. Aku menyesal kerana tidak mencuba.



Penyesalan Itu Tidak Membunuh _ Tapi Ia Menghantui 

Sejak hari pemergian papa, aku selalu bertanya pada diri sendiri:
Adakah aku anak yang baik?
Adakah papa pernah tahu betapa aku sayang padanya walau aku menjauh? Cukupkah segala pengorbanannya aku balas?


Seorang anak dan bapa berpegangan tangan
Kasih sayang yang sepatutnya sentiasa disulam indah, bukan terpisah


Dan jawapan kepada semua itu... aku tidak tahu.

Kita selalu fikir masa akan sentiasa ada. Kita fikir kita boleh tunggu hingga "waktu yang sesuai". Tapi hidup tidak menunggu kita bersedia. Apabila saat terakhir itu tiba, tak ada lagi kata yang boleh diucap _ hanya doa yang mampu menyusul dan kenangan yang terus hidup dalam ingatan.



Pengajaran Buat Hati Yang Masih Mempunyai Waktu 

Selagi tangan itu masih mampu digenggam, genggam lah. Selagi suara itu masih kedengaran, sahutlah. Jangan tunggu mereka tiada untuk kau mula menghargai. Jangan tunggu saat yang sempurna. Jangan tunggu waktu yang tenang. Kerana mungkin waktu itu tidak akan pernah tiba.

Dan jika hubungan kamu dengan orang tua ada jurang, jangan biarkan ego menghalang. Sebagai anak, kita selalu merasakan bahawa kitalah yang paling terluka. Tapi dalam diam, ibu bapa kita mungkin menyimpan luka yang mereka sendiri tidak tahu bagaimana mahu sembuhkan.

Memaafkan bukan bermaksud melupakan semuanya. Ia bermaksud melepaskan beban, dan membuka ruang untuk menyembuhkan sesuatu yang telah lama retak.



Untuk Anak-anak Yang Pernah Terluka

Aku tahu ada antara kita yang membesar dalam rumah yang tidak sempurna. Ada yang pernah dilukai oleh orang tua sendiri, sama ada secara fizikal, emosi atau dalam bentuk lain. Tapi aku juga tahu, ada antara kita yang menyimpan harapan agar hubungan itu pulih _ walau secebis.

Catatan ini bukan untuk menyuruh kamu menutup luka. Tetapi untuk mengajak kamu melihat bahawa setiap detik yang masih ada, adalah peluang. Mungkin bukan untuk melupakan, tetapi untuk memahami. Mungkin kita tak mampu memperbaiki apa yang telah berlalu, tetapi kita masih ada peluang untuk menamatkannya dengan lebih indah.



Penutup

Ini hanyalah satu lagi catatan dari hati yang sedang belajar memahami kehidupan, dan sedang mencari ruang untuk memaafkan dan dimaafkan. Jika catatan ini menyentuh hati kamu walau sedikit, anggaplah ia bukan kebetulan. Mungkin Tuhan sedang menyampaikan sesuatu, bukan sekadar kepadaku_ tetapi juga kepadamu.

Jangan jadi seperti aku. Jangan tunggu kehilangan untuk mula menghargai. Dan jangan biarkan diam menjadi pengganti kepada kata-kata yang seharusnya diucapkan semasa masih sempat.



Seorang sedang duduk bersujud di atas sejadah dengan cahaya pagi, melambangkan doa dan keinsafan.
Dalam sujud yang sunyi, rindu menjadi doa

 


Kasih ibu membawa ke syurga. Redha ayah membawa berkat sepanjang usia.


Terima kasih kerana membaca hingga ke titik ini.

Catatan ini mungkin hanya cebisan daripada hidup aku, tapi bagi aku ia penuh makna_ dan penuh luka yang perlahan-lahan aku peluk sebagai sebahagian daripada diri.

Jika anda juga pernah merindui seseorang yang sudah tiada.... 

Atau pernah rasa sunyi yang tak mampu dijelaskan dengan kata-kata... 

Tinggalkan satu jejak di ruang komen_  walau satu perkataan pun, ia mungkin jadi cahaya buat hati aku yang sedang belajar sembuh. 

Dan jika anda mahu mengenali sisi aku yang lain, ini adalah dua catatan awal yang membuka jalan kepada penulisan ini:


Semoga tulisan ini menemukan anda di waktu yang paling anda perlukan. Dan semoga kita semua tak lagi terlalu lewat untuk menghargai mereka yang masih ada. 

📬Jangan terlepas untuk membaca catatan seterusnya — langgan untuk terima terus di e-mel anda.

✍️ Ditulis oleh Eamyz Remy Jalal — seorang penulis bebas yang menulis dari hati, tentang hidup, rasa dan cerita kecil yang ada makna.
Kenali Remy lebih lanjut →

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa Itu Cinta, Bila Kita Perlu Ingat Diri

  “Kadang-kadang cinta bukan datang untuk dimiliki — tetapi untuk menguji cara kita menjaga diri.” Apa Itu Cinta, Bila Kita Perlu Ingat Diri Cerita Kehidupan • Refleksi tentang rasa, batas, dan kesedaran Ada puisi yang tidak datang untuk disorak, tetapi untuk dibaca perlahan-lahan — seperti seseorang yang mengetuk pintu hati dengan jari yang sopan. Puisi begini tidak menjerit, tidak memujuk, dan tidak meminta simpati. Ia hanya menceritakan satu perkara yang paling jujur: rasa . Puisi kiriman Umi ini seakan menyebut cinta sebagai sesuatu yang hadir tanpa diduga — datang “tanpa suara atau kata”, lalu tiba-tiba memenuhi ruang dalam diri. Namun yang menjadikannya istimewa bukan sekadar rindu dan sakit yang ditulis, tetapi satu kesedaran yang matang: bila rasa itu semakin kuat, manusia perlu ingat diri . ...

Apa Saya Belajar Dari Ella Edisi Khas: Ratu Rock dan Hati Yang Pemalu

Bila hati belajar, hidup pun berubah. 🎓Apa Saya Belajar Dari Ella -  Edisi Khas: Ratu Rock dan Hati Yang Pemalu  Grafik Khas "Apa Saya Belajar Dari Ella"_ satu penghormatan kepada Ratu Rock Malaysia yang membuktikan bahawa menjadi pemalu juga boleh jadi luar biasa.(Bukan gambar sebenar) 📝 Nota Penulis: Ini adalah entri pertama dalam siri Apa Saya Belajar Dari.... dan saya memilih untuk mulakan dengan seseorang yang sangat istimewa di hati saya_ Ella, Ratu Rock Malaysia. Ia bukan sekadar tentang minat terhadap muzik, tetapi lebih kepada pelajaran tentang kehidupan yang saya kutip dari kehadiran dan kisah beliau sepanjang tahun. Entri ini lebih panjang daripada biasa kerana ia juga adalah surat terbuka, pengakuan, dan penghargaan kepada seorang selebriti yang secara tidak langsung telah menemani perjalanan saya dari kecil hingga dewasa. Dari Jempol ke Dinding Rumah  Saya mula mengenali Ella bukan secara langsung dari pentas besar, tetapi melalui kaca tele...

Dari Bisa ke Cinta: Kisah Romantis Ratu Medusa dan Xiao Yan dalam Dunia Battle Through The Heavens

Dari Bisa ke Cinta: Kisah Romantis Ratu Medusa dan Xiao Yan dalam Dunia  Battle Through The Heavens Simbol cinta dalam dunia pergolakan — ilustrasi Ratu Medusa dan Xiao Yan yang menggambarkan transisi dari permusuhan kepada kasih sejati. Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca!  Masih ingat lagi anime-aksi popular yang penuh debaran dan emosi, Battle Through the Heavens (BTTH)  ? Jika anda peminat dunia penuh seni bela diri, pertarungan epik, dan emosi mendalam, artikel ini ditulis khas buat anda! Kali ini kita akan menyelami sisi yang lebih peribadi dalam dunia BTTH- iaitu kisah cinta antara dua watak yang sangat berbeza latar belakang dan asal-usul, namun dipertemukan takdir: Ratu Medusa( Cai Lin) dan Xiao Yan. Bukan sekadar kisah aksi, BTTH turut menyelitkan elemen cinta yang mencengkam hati.  Bagaimana Aku Mengenali BTTH? Perkenalan aku dengan Battle Through the Heavens berlaku kira-kira kira-kira empat tahun lepas- secara ti...