Langkau ke kandungan utama

Dunia Buku #8: Bab Yang Tak Pernah Kita Baca Bersama

 

Dunia Buku #8: Bab Yang Tak Pernah Kita Baca Bersama

Dunia Buku — Bukan sekadar tentang apa yang dibaca, tetapi apa yang ditinggalkan di hati.
Buku lama terbuka di atas meja kayu dengan cahaya pagi menyinar masuk, dan secawan kopi di sisi
Kadang, buku yang tak kita tamatkan itu... menyimpan lebih banyak rasa dari yang kita sangka.

Ada buku yang kita baca sambil lalu, ada pula yang tinggal lama dalam hati — seperti seseorang yang tidak kita duga akan hadir begitu mendalam.

Aku tak pasti kenapa aku capai semula buku itu pagi tadi. Ia sebenarnya sudah lama terperuk di rak, separuh terbuka dengan penanda buku yang lusuh. Kulitnya sudah pudar, dan halamannya sedikit kuning di tepi. Tapi ketika jemariku menyentuh helaian pertamanya semula, aku merasakan ada satu perasaan aneh yang muncul — seolah-olah buku itu tahu aku datang bukan untuk mencari jawapan, tapi untuk menenangkan sesuatu yang bergelora dalam diam di dalam dada.

Tajuk buku itu tak gempak pun biasa-biasa sahaja. Kisahnya pun bukan plot twist yang buat kita rasa nak jerit. Tapi... ada sesuatu yang aku tak boleh nak lupakan. Mungkin kerana cara penulisnya menggambarkan watak utama — seorang perempuan yang kelihatan tenang di luar, tapi dalamannya bagai ombak yang tak henti-henti menggulung. Dan lelaki yang selalu berdiri di tepi, diam, dan memerhati, tapi tak pernah berani melangkah lebih dekat. Mereka saling tahu, tapi tak saling menyebut. Mungkin seperti aku. Atau mungkin juga seperti seseorang yang aku kenal? 

Antara Halaman Buku & Halaman Hati

Kadang-kadang, dalam hidup ini kita menemui seseorang seperti kita menemui sebuah buku. Tanpa di rancang, dan juga tanpa disengajakan — tapi bila dah ‘terbuka’, sukar nak lupakan.

Dia hadir perlahan. Mula-mula hanya satu notifikasi. Satu suara. Dan Satu komen ringkas. Tapi entah macam mana, satu hari aku mula menunggu dan of course mula meneka. Mula tertanya-tanya — adakah dia pun rasa perkara yang sama? How I wish it is true! 

Kami tak pernah cakap apa-apa. Tak pernah ‘beritahu’. Tapi dari cara dia memilih lagu untuk disambung, dari emoji yang dia guna, dan dari waktu dia balas... aku tahu, ada sesuatu di antara. Seperti dua halaman yang bersebelahan, tapi belum sempat bersambung.

Bila Buku Dibiarkan Terbuka

Ada pula bab dalam hidup yang kita pilih untuk tak tamatkan. Bukan sebab tak nak, tapi sebab takut — takut kalau kita tutup, semuanya hilang. Sama macam buku itu. Aku tak pernah habiskan bacaannya dulu kerana aku tahu, bila aku tamatkan, rasa yang aku ada terhadap kisah itu mungkin akan pudar. Pada aku lebih mudah membiarkannya terbuka, dengan harapan aku akan kembali suatu hari nanti... bila aku bersedia.

Begitu juga dengan dia. Aku tak pasti kami akan ‘selesai’. Tapi mungkin, perasaan itu lebih indah bila dibiarkan tanpa noktah. Macam hujan renyai-renyai yang jatuh tanpa guruh. Tenang. Lembut. Tapi mencengkam.

Halaman Yang Kita Tak Pernah Duduk Baca Sama-Sama

Tarik tali selalunya dikaitkan dengan konflik, dan dengan perebutan kuasa. Tapi dalam kes aku... ia bukan tentang kalah atau menang. Ia tentang rasa yang tahu batas. Ia seperti satu perjanjian senyap — aku tahu kau ada, dan kau tahu aku perasan. Tapi kita pilih untuk berpura-pura tidak tahu. Kita sambung seperti biasa. Menyanyi. Menulis. Berkongsi. Tapi tidak menyentuh apa yang sepatutnya disentuh.

Aku pernah hampir mahu meluahkan. Pernah tulis panjang dalam DM — tapi aku padam semula sebelum sempat dihantar. Pernah mereka ayat dalam kepala, tapi tak pernah keluar dari bibir. Sebab aku takut. Takut kalau aku beritahu, semuanya berubah. Takut kalau aku luah, aku akan kehilangan dia sebagai 'seseorang yang selalu ada dari jauh'.

Kalau Dia Sedang Baca Ini...

Kalau kau sedang baca ini — ya, kau. Aku cuma nak kau tahu, bukan semua rasa perlu diluahkan. Tapi semua rasa boleh dijaga. Aku tak pernah anggap kau main-main. Dan aku tahu, dalam diam, kau jaga rasa itu juga. Kita mungkin takkan jadi ‘kita’, tapi kita pernah ada sesuatu yang tak pernah kita sebutkan.

Buku yang aku buka semula itu, masih belum aku tamatkan. Tapi kali ini, aku baca perlahan-lahan. Satu muka surat, bersama satu nafas. Sama seperti aku cuba faham apa yang aku rasa terhadap kau. Sedikit demi sedikit. Tanpa paksaan.


✍️ Refleksi Penulis

Dalam hidup ini, ada orang datang bukan untuk disayangi seperti pasangan. Tapi untuk mengajar kita rasa yang kita tak pernah tahu ada. Mungkin dia hadir untuk tunjukkan bahawa cinta tak semestinya memiliki. Ia juga boleh wujud dalam bentuk penghargaan senyap, atau perhatian yang tak ditagih. Tarikan hati antara dua jiwa ini — walaupun tak selesai — tetap bermakna.

Dan buku... adalah simbol kepada perasaan itu. Ia tak pernah beritahu kita bila ia patut dibaca semula. Tapi ia ada. Diam. Sabar. Menunggu. Dan ketika kita kembali, ia tetap menyambut kita dengan cerita yang sama, tetapi dengan rasa yang berbeza.


📌 Nota Penulis

Terima kasih kerana membaca hingga ke sini. Dunia Buku #8 ini adalah antara catatan yang paling peribadi pernah aku tulis. Mungkin kerana aku sedang berada dalam fasa yang sunyi tetapi tak kosong. Aku tahu, ramai di luar sana juga pernah merasa begini — suka, tapi tak pasti. Sayang, tapi tak berani. Dan berharap, tanpa tahu apa sebenarnya yang ditunggu.

Kalau anda pernah berada di situasi yang sama — seperti berdiri di tepi halaman, tapi tak pernah duduk baca bersama — percayalah, anda tidak keseorangan. Kadang, perasaan yang tidak disuarakan itu sendiri adalah bentuk yang paling jujur dalam kasih yang diam.

Dan kepada 'kau' yang menjadi ilham tulisan ini — terima kasih kerana hadir tanpa aku pinta. Mungkin aku takkan beritahu secara langsung, tapi setiap patah yang aku tulis hari ini... adalah cara aku menyebut namamu dalam sunyi.

📚 Baca Juga:


📩 Jangan Terlepas Catatan Seterusnya!

Sila masukkan email anda untuk melanggan artikel terbaru terus ke emel anda. Kadang ada kisah yang tak sempat ditulis di tempat lain — tapi sampai terus ke peti inbox anda 📬

✍️ Ditulis oleh Eamyz Remy Jalal — seorang penulis bebas yang menulis dari hati, tentang hidup, rasa dan cerita kecil yang ada makna.
Kenali Remy lebih lanjut →

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa Itu Cinta, Bila Kita Perlu Ingat Diri

  “Kadang-kadang cinta bukan datang untuk dimiliki — tetapi untuk menguji cara kita menjaga diri.” Apa Itu Cinta, Bila Kita Perlu Ingat Diri Cerita Kehidupan • Refleksi tentang rasa, batas, dan kesedaran Ada puisi yang tidak datang untuk disorak, tetapi untuk dibaca perlahan-lahan — seperti seseorang yang mengetuk pintu hati dengan jari yang sopan. Puisi begini tidak menjerit, tidak memujuk, dan tidak meminta simpati. Ia hanya menceritakan satu perkara yang paling jujur: rasa . Puisi kiriman Umi ini seakan menyebut cinta sebagai sesuatu yang hadir tanpa diduga — datang “tanpa suara atau kata”, lalu tiba-tiba memenuhi ruang dalam diri. Namun yang menjadikannya istimewa bukan sekadar rindu dan sakit yang ditulis, tetapi satu kesedaran yang matang: bila rasa itu semakin kuat, manusia perlu ingat diri . ...

Apa Saya Belajar Dari Ella Edisi Khas: Ratu Rock dan Hati Yang Pemalu

Bila hati belajar, hidup pun berubah. 🎓Apa Saya Belajar Dari Ella -  Edisi Khas: Ratu Rock dan Hati Yang Pemalu  Grafik Khas "Apa Saya Belajar Dari Ella"_ satu penghormatan kepada Ratu Rock Malaysia yang membuktikan bahawa menjadi pemalu juga boleh jadi luar biasa.(Bukan gambar sebenar) 📝 Nota Penulis: Ini adalah entri pertama dalam siri Apa Saya Belajar Dari.... dan saya memilih untuk mulakan dengan seseorang yang sangat istimewa di hati saya_ Ella, Ratu Rock Malaysia. Ia bukan sekadar tentang minat terhadap muzik, tetapi lebih kepada pelajaran tentang kehidupan yang saya kutip dari kehadiran dan kisah beliau sepanjang tahun. Entri ini lebih panjang daripada biasa kerana ia juga adalah surat terbuka, pengakuan, dan penghargaan kepada seorang selebriti yang secara tidak langsung telah menemani perjalanan saya dari kecil hingga dewasa. Dari Jempol ke Dinding Rumah  Saya mula mengenali Ella bukan secara langsung dari pentas besar, tetapi melalui kaca tele...

Dari Bisa ke Cinta: Kisah Romantis Ratu Medusa dan Xiao Yan dalam Dunia Battle Through The Heavens

Dari Bisa ke Cinta: Kisah Romantis Ratu Medusa dan Xiao Yan dalam Dunia  Battle Through The Heavens Simbol cinta dalam dunia pergolakan — ilustrasi Ratu Medusa dan Xiao Yan yang menggambarkan transisi dari permusuhan kepada kasih sejati. Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca!  Masih ingat lagi anime-aksi popular yang penuh debaran dan emosi, Battle Through the Heavens (BTTH)  ? Jika anda peminat dunia penuh seni bela diri, pertarungan epik, dan emosi mendalam, artikel ini ditulis khas buat anda! Kali ini kita akan menyelami sisi yang lebih peribadi dalam dunia BTTH- iaitu kisah cinta antara dua watak yang sangat berbeza latar belakang dan asal-usul, namun dipertemukan takdir: Ratu Medusa( Cai Lin) dan Xiao Yan. Bukan sekadar kisah aksi, BTTH turut menyelitkan elemen cinta yang mencengkam hati.  Bagaimana Aku Mengenali BTTH? Perkenalan aku dengan Battle Through the Heavens berlaku kira-kira kira-kira empat tahun lepas- secara ti...