Langkau ke kandungan utama

Lagu Yang Saya Tak Pernah Mainkan Untuk Dia

Siri: Sebelum Semua Ini Hanya Tinggal Lagu

Lagu Yang Saya Tak Pernah Mainkan Untuk Dia

Lelaki bersendirian dengan gitar yang tidak dimainkan — simbol lagu yang tidak pernah dinyanyikan.
Ada lagu yang tak pernah kita nyanyikan, sebab takut kebenaran di dalamnya terlalu dalam untuk didengar.

Saya pernah cipta satu lagu.

Ianya tak panjang, tapi ada semua —

Hasil daripada nada sunyi yang saya kumpulkan dari malam-malam yang tak pernah cukup lena,

Liriknya ditulis dengan perlahan, sewaktu hati saya masih lagi belajar untuk melepaskan.

Tapi lagu itu tak pernah saya mainkan untuk dia sehingga saat ini. 

Bukan Sebab Tak Sempat

Saya ada banyak peluang sebenarnya. Malah, saya pernah duduk hanya beberapa langkah dari dia. Tangan saya kemas memegang gitar. Dan hati saya pula penuh rasa mendengar dia menyanyi. Tapi mulut saya… tetap berdiam.

Saya takut, kalau lagu itu akan membuatkan dia tahu betapa saya sebenarnya sangat menyayangi dia lebih dari apa yang dia sangkakan. Takut, kalau selepas lagu itu dimainkan, segalanya akan berubah. Aku takut kami berdua sudah tak boleh lagi untuk berpura-pura selesa.

Jadi saya simpan lagu itu. Dalam kepala. Dalam nota. Dalam rakaman suara yang tak pernah dihantar. Dan begitulah — hari demi hari… lagu itu terus menjadi rahsia hati.

Mungkin Lagu Itu Dicipta Untuk Diri Saya Sendiri

Kadang-kadang saya cuba dengar semula lagu itu. Dalam gelap malam. Dengan headphone lama yang hanya berfungsi di sebelah telinga.

Saya dengar suara saya sendiri menyanyi — bukan dengan nada yakin, tapi seperti seseorang yang sedang cuba memberanikan diri untuk berterus terang. Namun kekuatan yang saya cari itu tak pernah datang. 

Dan hati saya menangis. Bukan sebab kehilangan. Tapi sebab lagu itu telah menjadi bukti bahawa saya pernah sayang seseorang dengan jujur, tapi saya tak mampu untuk meluahkan. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Paling penting perasaannya yang pernah kehilangan perlu saya jaga. 

Saya pernah bayangkan detik itu. Saya duduk dengan gitar, dan dia berada di depan saya. Saya petik perlahan. Saya nyanyi bait demi bait. Tapi dalam setiap imaginasi saya, wajah dia… tak pernah senyum. Dia cuma tunduk. Dan itu cukup untuk buat saya berundur.

Kalau Dia Tahu Lagu Itu Tentang Dia

Mungkin dia akan ketawa kecil. Atau pun dia akan terdiam. Atau mungkin… dia pun ada lagu yang dia tak pernah mainkan untuk saya. Siapa tahu kan sebab kami tak pernah berjumpa pun. 

Kita ni kadang-kadang pelik. Kita cipta banyak ruang untuk orang masuk, tapi tak berani ajak mereka duduk lama-lama. Kita bagi mereka lampu, tapi tak buka pintu.

Lagu itu… ialah cahaya yang saya tak pernah benarkan dia nampak. Dan sekarang, saya sendiri tak pasti — masihkah dia perlu tahu?

Atau lebih tepat, saya takut kalau dia tahu… tapi dia sebenarnya tak rasa apa-apa pun. 

Tapi Lagu Itu Masih Ada

Saya tak pernah buang. Tak mungkin juga saya akan padam. Sebab ada bahagian diri saya yang belum redha. Yang masih merasakan, dia adalah satu-satunya insan yang saya tak pernah beri apa-apa — walaupun saya ada semuanya untuk diberi.

Saya simpan lagu itu bukan untuk dia lagi. Tapi untuk diri saya sendiri. Untuk saya ingatkan diri saya ini, bahawa saya pernah tulis sesuatu dengan hati yang betul dan tulus. Dan saya masih percaya… setiap lagu yang jujur, walaupun tak pernah dimainkan, tetap hidup dalam bentuknya yang paling sunyi.

Lagu itu adalah bukti diam-diam yang saya pernah cuba menjadi berani. Dan dalam lagu itu ada bahagian diri saya yang saya tak pernah kongsi dengan sesiapa. Ia seperti ruang peribadi yang saya buka hanya pada waktu sunyi — tempat saya pulang bila dunia terlalu bising, bila rindu mula menjerit, dan bila hati terasa ingin dilihat tanpa dinilai.

Dan dalam kesunyian itu, ada ruang untuk saya terus sembuh. Mungkin secara perlahan-lahan. Tanpa perlu jawapan, dan tanpa perlu pengakhiran

Dan sejujurnya, lagu itu telah menyelamatkan saya banyak kali — waktu saya hampir terlupa bagaimana rasanya mencintai seseorang dalam diam.

Penutup Tanpa Bunyi

Kalau satu hari nanti dia terbaca catatan ini, dan dia terfikir lagu mana yang saya maksudkan — biarlah.

Tak perlu dia dengar. Dan tak perlu pun saya nyanyikan.

Cukup dia tahu, bahawa saya pernah cipta sesuatu… kerana dia. Sesuatu yang tidak pernah dipaksa, dan tidak pernah diminta — hanya lahir begitu saja, dari rasa yang tak sempat menjadi nyata.

Dan sampai sekarang pun — saya masih tidak pernah mainkan lagu itu.


💌 Suka Tulisan Ini?

Langgan blog ini untuk membaca lebih banyak kisah dan rasa yang tak sempat diungkapkan, tapi tetap hidup dalam diam.

Langgan Sekarang dengan cara memasukkan alamat email anda untuk tidak ketinggalan catatan seterusnya bila hati terasa mahu menulis lagi.

“Wow, kau tetap satu.”


Ini adalah artikel kelima dalam siri \"Sebelum Semua Ini Hanya Tinggal Lagu\" — tentang apa yang disimpan, dan tidak pernah sempat diberikan.

🎵



✍️ Ditulis oleh Eamyz Remy Jalal — seorang penulis bebas yang menulis dari hati, tentang hidup, rasa dan cerita kecil yang ada makna.
Kenali Remy lebih lanjut →

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa Itu Cinta, Bila Kita Perlu Ingat Diri

  “Kadang-kadang cinta bukan datang untuk dimiliki — tetapi untuk menguji cara kita menjaga diri.” Apa Itu Cinta, Bila Kita Perlu Ingat Diri Cerita Kehidupan • Refleksi tentang rasa, batas, dan kesedaran Ada puisi yang tidak datang untuk disorak, tetapi untuk dibaca perlahan-lahan — seperti seseorang yang mengetuk pintu hati dengan jari yang sopan. Puisi begini tidak menjerit, tidak memujuk, dan tidak meminta simpati. Ia hanya menceritakan satu perkara yang paling jujur: rasa . Puisi kiriman Umi ini seakan menyebut cinta sebagai sesuatu yang hadir tanpa diduga — datang “tanpa suara atau kata”, lalu tiba-tiba memenuhi ruang dalam diri. Namun yang menjadikannya istimewa bukan sekadar rindu dan sakit yang ditulis, tetapi satu kesedaran yang matang: bila rasa itu semakin kuat, manusia perlu ingat diri . ...

Apa Saya Belajar Dari Ella Edisi Khas: Ratu Rock dan Hati Yang Pemalu

Bila hati belajar, hidup pun berubah. 🎓Apa Saya Belajar Dari Ella -  Edisi Khas: Ratu Rock dan Hati Yang Pemalu  Grafik Khas "Apa Saya Belajar Dari Ella"_ satu penghormatan kepada Ratu Rock Malaysia yang membuktikan bahawa menjadi pemalu juga boleh jadi luar biasa.(Bukan gambar sebenar) 📝 Nota Penulis: Ini adalah entri pertama dalam siri Apa Saya Belajar Dari.... dan saya memilih untuk mulakan dengan seseorang yang sangat istimewa di hati saya_ Ella, Ratu Rock Malaysia. Ia bukan sekadar tentang minat terhadap muzik, tetapi lebih kepada pelajaran tentang kehidupan yang saya kutip dari kehadiran dan kisah beliau sepanjang tahun. Entri ini lebih panjang daripada biasa kerana ia juga adalah surat terbuka, pengakuan, dan penghargaan kepada seorang selebriti yang secara tidak langsung telah menemani perjalanan saya dari kecil hingga dewasa. Dari Jempol ke Dinding Rumah  Saya mula mengenali Ella bukan secara langsung dari pentas besar, tetapi melalui kaca tele...

Dari Bisa ke Cinta: Kisah Romantis Ratu Medusa dan Xiao Yan dalam Dunia Battle Through The Heavens

Dari Bisa ke Cinta: Kisah Romantis Ratu Medusa dan Xiao Yan dalam Dunia  Battle Through The Heavens Simbol cinta dalam dunia pergolakan — ilustrasi Ratu Medusa dan Xiao Yan yang menggambarkan transisi dari permusuhan kepada kasih sejati. Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca!  Masih ingat lagi anime-aksi popular yang penuh debaran dan emosi, Battle Through the Heavens (BTTH)  ? Jika anda peminat dunia penuh seni bela diri, pertarungan epik, dan emosi mendalam, artikel ini ditulis khas buat anda! Kali ini kita akan menyelami sisi yang lebih peribadi dalam dunia BTTH- iaitu kisah cinta antara dua watak yang sangat berbeza latar belakang dan asal-usul, namun dipertemukan takdir: Ratu Medusa( Cai Lin) dan Xiao Yan. Bukan sekadar kisah aksi, BTTH turut menyelitkan elemen cinta yang mencengkam hati.  Bagaimana Aku Mengenali BTTH? Perkenalan aku dengan Battle Through the Heavens berlaku kira-kira kira-kira empat tahun lepas- secara ti...