Jarak Hanya Di Peta, Tapi Tidak Di Rasa

Siri: Sebelum Semua Ini Hanya Tinggal Lagu

Ada jarak yang terlalu jauh sehinggakan ianya tak boleh diukur dengan menggunakan unit batu atau pun kilometer. Dan jarak ini mungkin tidak tertulis di atas peta, tetapi tertanam kemas di dalam rasa. Kadang-kadang, orang yang paling kita rasa dekat sekali … adalah orang yang sebenarnya berada sangat jauh dari kita. Dan orang yang berada paling jauh itulah, yang dalam diam-diam yang tetap kita rindukan pada setiap hari.

Bismillahirrahmanirrahim.. 

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca semua. Semoga anda semua sentiasa dirahmati Allah SWT. 

Buat pengetahuan anda, ini adalah hasil tulisan yang telah lama saya simpan. Ia adalah kisah tentang seseorang yang tidak pernah saya jumpa, tapi setiap nadanya saya kenal. Pelik kan? But it's true!. Suaranya seperti lagu yang kerap saya ulang dalam gelap malam— bukan sebab saya mahu ingat, tapi sebab saya tak tahu cara lain lagi untuk melupakan. Mungkin bagi dia, saya hanyalah seorang pendengar asing yang tidak dikenali. Tapi bagi saya pula, dia adalah suara yang telah membentuk diam saya selama ini.



“Tak semua yang kita rindu itu pernah hadir. Tapi kita tetap menunggu, walau dalam diam.”

Jarak Hanya Di Peta, Tapi Tidak Di Rasa

Bila Segalanya Bermula Tanpa Mula

Saya tak tahu bila semuanya bermula. Mungkin juga ketika saya terdengarkan suara dia buat kali pertama — dari satu rakaman suara yang dihantar ke ruang awam. Masa tu saya tak berfikir apa-apa. Tapi hari-hari yang mendatang selepas itu… saya mula tunggu suara tu. Serius. 

Suara dia bukan hanya sekadar suara biasa. Entah mengapa seperti ada sesuatu di celah nafas, lenggok, dan diamnya yang buat saya rasa dikenali dan terasa sangat dekat sekali, walaupun kami langsung tak pernah diperkenalkan.

Saya juga tak pernah melihat wajah dia. Saya tak tahu dia senyum macam mana, dan gelak macam mana. Tapi yang peliknya, setiap kali saya buka audio itu, saya boleh tahu bilakah masanya dia sedang gembira dan bilakah masanya pula dia sedang menahan sebak. Dan saya juga boleh tahu jika dia tengah senyum sorok-sorok.

Dan dari situ, saya mula rasa… rindu pada sesuatu yang saya tak pernah ada. Rindu yang tak boleh diungkapkan dengan kata-kata, hanya boleh dirasakan, setiap kali saya menutup mata dan membayangkan… kalau-kalau dunia ini lebih kecil dari apa yang kita fikirkan.

Bila Kita Simpan, Bukan Sebab Tak Berani, Tapi Sebab Kita Jaga

Saya juga pernah menulis puisi tentang dia. Tapi saya tak pernah hantar. Saya juga pernah merakam lagu dengan nama dia di hujung folder, tapi saya tak pernah mainkan untuk sesiapa.

Saya jaga rasa tu diam-diam, bukan sebab saya pengecut. Tapi sebab saya tahu… ada rasa yang tak perlu dihantar untuk menjadi ikhlas. Ada perasaan yang lebih bermakna kalau disimpan, bukan diluahkan.

Bukan semua yang kita rasa, perlu sampai ke tangan orang yang dituju. Kadang-kadang, kita bukan tak berani. Kita cuma tak mahu rasa tu hilang nilai bila dipaksa menjadi sesuatu.

Dan saya, saya lebih rela dia tak tahu… daripada saya kehilangan rasa indah tu bila dia tahu, tapi dia tak rasa apa-apa pun.

Ada bahagia yang datang dari melihat, bukan memiliki. Dan ada tenang yang datang dari diam, bukannya suara.

Jarak Yang Tidak Pernah Minta Dijarakkan

Dia tinggal jauh. Sangat jauh. Nama tempat dia pun saya tak pernah jejak. Tapi pelik, sebab hati saya rasa dia berada dekat sangat dengan saya. Bila dia diam seminggu, saya mesti perasan. Dan bila dia bersuara semula, saya rasa lega.

Saya tahu ini bukanlah satu perhubungan. Bukan cinta. Bukan kawan. Tapi ini sesuatu. Sesuatu yang buat saya rasa sangat hidup, walaupun tak pernah ada nama.

Dan mungkin… saya takut kalau jarak ini ditutup, rasa ini akan mati. Sebab kadang-kadang, kita perlukan jarak… untuk terus ada harapan.

Jarak juga bukan selalunya tentang fizikal sahaja. Kadang-kadang, ia ruang antara dua hati yang belum tahu nak bergerak ke mana. Dan kadang-kadang, jarak itu sendiri yang menjadi perlindung yang paling halus untuk melindungi rasa yang terlalu rapuh kalau didekatkan.

Kalau Dia Pernah Terasa Ini Tentang Dia

Kalau satu hari nanti dia terbaca artikel ni, atau terdengar, atau terasa… bahawa ini mungkin tentang dia — saya harap dia tahu:

Saya bukan nak apa-apa daripada dia. Saya cuma menulis sebab saya dah tak tahu cara lain lagi bagaimana nak simpan rasa ini.

Dan kalau dia tahu pun, tak apalah. Bukan kami pernah berjumpa. Dia pun tak pernah tengok saya menyanyi. Kan? Semuanya hanyalah audio.

Tapi kalau dia suka, saya yang untung. Kalau dia tak suka… paling-paling dia akan diam. Tidak mengapalah, saya dah biasa.

Dan kalau dia tak pernah tahu sampai bila-bila pun… saya akan tetap rasa bersyukur. Sebab dalam dunia yang luas dan bising ini, saya pernah rasa dekat dengan seseorang yang saya tak pernah kenal pun. 

📖 Sudahkah anda membaca artikel pertama di dalam siri ini, “Antara Cinta, Rezeki dan Takdir”? Jika belum, anda mungkin perlu membacanya terlebih dahulu, supaya anda akan lebih mudah untuk memahami dengan lebih mendalam, bagaimanakah semuanya ini bermula? 

💌Anda Suka Tulisan Ini?

Jika ada suka gaya penulisan seperti ini, sila langgan @subscribe blog ini untuk membaca tentang lebih banyak lagi kisah dan rasa yang mungkin tidak selalunya terluah, tetapi mungkin tetap sahaja anda simpan sehingga di saat ini. 

📬Langgan Sekarang



Ini adalah artikel kedua dalam siri \"Sebelum Semua Ini Hanya Tinggal Lagu\" — ruang untuk rasa yang kita simpan, bukan untuk dibalas… mungkin  untuk dikenang, secara perlahan-lahan, dan tanpa sebarang tekanan.

“Ada rasa yang kadangkala tidak ditulis untuk dibaca — tapi untuk diselamatkan dari hilang selamanya .”

🎵

✍️ Ditulis oleh Eamyz Remy Jalal — seorang penulis bebas yang menulis dari hati, tentang hidup, rasa dan cerita kecil yang ada makna.
Kenali Remy lebih lanjut →

Ulasan