📚 Apa Saya Belajar Dari
Siri ini menghimpunkan kisah-kisah reflektif tentang individu, karya atau pengalaman yang telah meninggalkan kesan mendalam dalam hidup saya.
Dari selebriti inspirasi, sahabat lama, hingga buku yang menyentuh jiwa — semuanya menjadi cermin untuk saya memahami kehidupan dengan lebih jujur dan bersyukur.
Apa Saya Belajar Dari Nurul Idayu: Sahabat Buku, Kenangan & Kehilangan Yang Bermakna
 |
Zaman remaja kami diwarnai dengan buku cinta dan bual bicara panjang_ minat yang menyatukan dua jiwa berbeza. |
Setiap orang pasti ada satu nama yang tersimpan kemas di dalam hati mereka_ yang apabila disebut sahaja , kita akan secara automatik menggamit kenangan lalu. Bagi saya nama itu ialah Nurul Idayu.
Dia bukanlah seorang artis, bukan seorang penulis terkenal, dan bukan juga seorang tokoh yang menghiasi dada akhbar atau pun kaca TV. Tapi dalam bab kehidupan saya, dialah watak sampingan yang dalam diam-diam telah berjaya mencuri tumpuan saya. Dia seorang sahabat dan seorang pencinta buku sejati. Dia jugalah seseorang yang pernah hadir sebagai penyeri waktu masa lalu saya, lalu menghilang tanpa sempat saya bertanyakan kenapa?
Hari ini, saya menulis bukan untuk mencari dirinya kembali, tetapi untuk menzahirkan sesuatu yang telah lama saya simpan di dalam hati_ iaitu sebuah penghargaan terhadap kehadirannya dalam hidup saya dan pelajaran hidup yang sempat saya kutip daripada perkenalan kami yang singkat, namun bermakna.
Perkenalan Yang Tidak Dirancang
Saya mengenali Nurul Idayu ketika kami sama-sama bekerja sambilan di sebuah pasaraya di Seremban, lebih dua dekad yang lalu. Ketika itu, saya baru mencecah usia 20 tahun manakala dia pula 18 tahun _ dan pada ketika itu kami berdua masih muda dan masih penuh dengan idealisme hidup yang ingin dikejar.
Hubungan kami bermula dengan persahabatan biasa. Kami bekerja di bahagian yang berlainan dan hanya sesekali berpeluang untuk bertembung, itu pun pada waktu rehat. Tapi segalanya berubah pada satu hari apabila dia terlihat saya membaca sebuah novel sewaktu masa rehat. Kau Untukku karya Aisya Sofea.
"Awak suka buku ni ke?" Soalnya sambil tersenyum kecil.
Saya menganggukkan kepala. Dan dari situ, perbualan kami berkembang, dari satu buku ke satu buku yang lain. Rupa-rupanya dia pun peminat novel Melayu kontemporari. Sama seperti saya.
Simbol Ikatan: "rdhtsyt"
Persahabatan kami berkembang dengan pantas, seperti plot indah yang ditulis dengan begitu baik. Kami mula bertukar-tukar novel, berkongsi impian, dan bercerita tentang dunia luar yang ingin kami terokai pada masa hadapan.
Tapi apa yang paling saya ingat, ialah hadiah yang dia telah berikan pada hari lahir saya yang ke-22. Satu keychain perak kecil, dengan ukiran unik: "rdhtsyt".
Saya masih ingat lagi saat dia menghulurkannya kepada saya.
"Tak mahal pun... tapi ini simbol kita tau! _'rindu di hati tak siapa yang tahu," katanya sambil ketawa kecil.
 |
Keychain kecil- tinggalan kenangan dari sahabat yang pernah hadir sebentar tapi bermakna. |
Itulah hadiah yang paling bermakna pernah saya terima daripada seorang sahabat. Bukan sebab harganya, tetapi kerana niatnya. Ia membawa maksud yang hanya kami berdua faham, dan menjadi pengikat kenangan yang tidak mampu dicari semula sehingga kini.
Pelajaran Pertama: Persahabatan Tidak Perlu Lama Untuk Jadi Bermakna
Saya belajar bahawa persahabatan tidak semestinya dinilai berdasarkan tempohnya, tapi bagaimana ia membuatkan kita rasa dilihat dan dihargai. Hubungan saya dan Nurul Idayu tidak berusia bertahun-tahun lamanya. Tapi dalam tempoh singkat itu, dia hadir sebagai seorang pendengar, penghibur, dan penyokong setia saya.
Kami tidak bercakap tentang dunia secara besar dan meluas, tapi tentang perkara kecil yang membuat hidup kami terasa indah_ tentang buku, lagu dan perasaan.
Setiap kali saya rasa sunyi di tengah kota, pasti saya akan teringatkan kembali perbualan kami tentang watak-watak novel kegemaran. Tentang betapa kami mahu menulis cerita kami sendiri suatu hari nanti.
Pelajaran Kedua: Hadiah Paling Bernilai Sering Kali Sederhana
Bila hidup mula memecut ke hadapan, saya sering lupa, bukan semua yang mahal itu bermakna, dan bukan semua yang murah itu tiada nilainya.
Keychain "rdhtsyt" itu adalah buktinya. Ia mungkin kelihatan kecil, tapi ia telah menjadi satu lambang perasaan yang besar, yang pernah wujud antara dua jiwa yang saling memahami, walaupun tanpa sebarang ikatan darah atau pun janji.
Saya masih menyimpannya hingga ke hari ini. Kadangkala keychain itu saya genggam dalam diam, sekadar untuk mengingati bahawa saya pernah mempunyai seseorang yang tahu betapa dalamnya makna sebuah novel. Dan bagaimana sebuah buku boleh menyatukan dua insan yang sangat berbeza.
Pelajaran Ketiga: Kehilangan Tanpa Penjelasan Itu Menyakitkan, Tapi Ia Mengajar
Selepas beberapa ketika, Nurul Idayu mula menjauhkan diri. Tiada pertengkaran dan tiada salah faham di antara kami berdua. Dia sekadar... hilang.
Saya pernah cuba menghubunginya. Pernah tunggu balasan mesej darinya. Pernah bertanya pada rakan-rakan lama kami. Tapi semuanya sunyi dan tiada siapa tahu ke mana dia membawa diri.
Sakitnya hati ini dirasakan, tapi perlahan-lahan saya sedar, tidak semua yang hilang itu perlu dikejar. Ada sesetengah orang yang hadir dalam hidup kita hanya untuk semusim. Mereka seperti satu bab atau chapter yang terdapat di dalam sebuah novel_ ada permulaan, ada pertengahan, dan ada penamat yang kadangkala bukan kita yang tentukan.
Saya belajar menerima sebuah kehilangan dengan tenang. Dan saya belajar bahawa perpisahan tanpa penjelasan tidak semestinya membawa kepada kebencian. Kadang-kadang ia hanya takdir yang enggan memberikan kita sebarang alasan.
Pelajaran Keempat: Tidak Semua Persahabatan Perlu Penamat Untuk Kekal Dalam Kenangan
Hari ini, bila orang bertanya siapa sahabat yang paling saya ingat_ saya tidak akan ragu-ragu untuk menjawab: Nurul Idayu.
Saya tidak tahu di mana dia berada sekarang ini. Mungkin dia sudah berkahwin, mungkin dia sedang berbahagia bersama keluarganya, dan mungkin juga dia sudah melupakan saya. Tapi dalam ruang hati saya yang paling dalam , namanya masih tersimpul rapi.
Dan kini dalam dunia penulisan saya, dia wujud sebagai satu inspirasi_ satu watak misteri yang pernah memberikan cahaya ke dalam hidup saya.
 |
Ada kehilangan yang tidak dapat diungkapkan dengan air mata, hanya disimpan diam-diam dalam hati yang sentiasa mengenang. |
Buku Adalah Penghubung Jiwa
Satu hal yang kekal mengikat kami pada masa dahulu ialah buku. Dunia fiksyen yang kami kongsi bersama menjadikan perbualan kami sentiasa segar. Kami boleh bercakap tentang watak Ahmad Fuad dan Umairah dari Kau Untukku, seolah-olah mereka benar-benar wujud.
Itu yang saya rindukan. Dan itu juga yang saya belajar_ bahawa membaca bukan hanya menambahkan ilmu, tapi juga membuka pintu hati kepada orang lain. Buku juga boleh menjadi sebuah jambatan yang menyatukan dua jiwa yang mungkin tidak pernah akan bertemu jika tidak kerana minat yang sama.
Harapan Yang Tak Pernah Padam
Saya tak tahu jika takdir akan mempertemukan kami semula. Tapi kalaulah satu hari nanti dia terbaca tulisan ini_ dan dia tahu ini tentangnya_ saya cuma mahu dia tahu:
"Terima kasih kerana awak pernah hadir dalam hidup saya walaupun sekejap. Awak ajar saya tentang erti persahabatan yang jujur. Persahabatan yang tidak dibina atas apa-apa motif selain dari rasa saling memahami di antara satu sama lain. Dan terima kasih kerana awak telah meninggalkan sesuatu yang saya akan ingat seumur hidup ini_ bukan sahaja keychain itu, tapi juga kenangan tentang siapa saya ketika bersama awak."
Penutup: Sahabat Tak Semestinya Kekal, Tapi Pelajaran Daripadanya Tetap Abadi
Dalam hidup ini, kita akan jumpa ramai orang. Ada yang tinggal dan kekal berada di sisi kita dan ada juga yang pergi tidak kembali lagi. Tapi seseorang yang benar-benar memberikan kesan adalah mereka yang datang sebagai cahaya yang menerangi kegelapan, walaupun hanya untuk seketika.
Nurul Idayu ialah satu bab yang istimewa dalam hidup saya_ bab yang saya tak mahu padam, walaupun kisahnya sudah lama tamat.
Saya belajar bahawa persahabatan bukan soal siapa yang paling lama kekal berada di sisi kita, tapi tentang siapa yang paling dalam menyentuh hati kita. Dan kadang-kadang, kehilangan itu bukan satu penamat, tapi satu cara untuk menghargai kehadiran mereka yang pernah ada bersama kita.
Dan jika awak, Nurul Idayu, terbaca tulisan ini... ketahuilah awak pernah menjadi sahabat terbaik saya. Walaupun mungkin awak sudah tak ingat saya lagi tetapi , saya masih ingat semuanya. Dalam diam, saya sentiasa mendoakan awak bahagia.
💬 Pernahkah anda bertemu seseorang yang mengubah hidup anda — walaupun hanya seketika?
Kongsikan kisah sahabat paling bermakna dalam hidup anda di ruangan komen atau tag saya jika anda menulis tentangnya.
Kerana ada kenangan yang tak akan pudar walau masa terus bergerak.
Jika anda menyukai gaya penulisan seperti ini, jangan ketinggalan untuk membaca kesemua artikel yang terdapat di dalam siri 'Apa Saya Belajar Dari' ini:
📚💬 Jangan lupa untuk langgan blog ini untuk lebih banyak kisah benar, reflektif dan penuh jiwa.
✍️ Nota Penulis
Artikel ini ditulis sebagai satu penghormatan kepada seorang sahabat yang pernah memberi makna besar dalam hidup saya.
Walaupun jarak dan masa telah memisahkan kami, memori tentang persahabatan itu tetap hidup dalam baris-baris kenangan.
Terima kasih kerana membaca hingga ke hujung. Semoga anda juga ditemani oleh kenangan yang manis — atau setidaknya, tidak pernah dilupakan.
Ulasan