Langkau ke kandungan utama

Catatan Awal Pagi #10: Dia Nyanyi Sebab Sunyi, Saya Dengar Sebab Faham

"Kadang-kadang kita sebenarnya tidak mencari apa-apa pun. Kita cuma sekadar lalu… dan terhenti pada suara yang tidak sempurna, tetapi jujur. Suara yang seperti datang dari satu ruang yang sunyi yang tidak pernah kita temui dan kenali, tetapi terasa sangat erat dan dekat. Seperti melihat bayangan masa lalu yang pernah berlaku, atau lebih tepat sebuah dejavu. Dan tanpa dirancang, kita mula peduli. Kita mula mendengar dengan lebih teliti …dan dengan hati yang terbuka. Catatan ini bukanlah tentang cinta yang biasa. Ia adalah catatan tentang dua sunyi yang berselisih — satu menyanyi kerana kosong, dan satu lagi mendengar kerana faham. Mungkin tidak ada apa-apa di antara mereka. Tetapi yang sedikit itu, pun cukup untuk menyentuh dan tinggal."

 

"Seorang wanita duduk sendirian di bangku taman sambil memandang jauh, disinari cahaya pagi yang suram – menggambarkan rasa sunyi dan renungan yang dalam."
Kadangkala, suara paling jujur datang dari mereka yang paling sunyi.

 

🌅Catatan Awal Pagi #10:

Dia Nyanyi Sebab Sunyi, Saya Dengar Sebab Faham...

Saya tidak pernah kenal dia. Tidak tahu siapa nama sebenarnya, dan tidak tahu tentang latar hidupnya. Apa yang saya tahu, dia ada di sana — dalam satu ruang sunyi yang dipenuhi muzik dan suara yang tak semuanya merdu, tapi semuanya jujur.

Pagi ini, hati saya masih di situ. Di satu rakaman yang saya setelkan semalam — lagu Takut dari Repvblik, sebuah lagu yang langsung saya tak pernah dengar sebelum ini tapi dengan pantas menjadi lagu favourite nombor dua selepas lagu 'harus terpisah-Cakra Khan. Tapi kerana satu komen yang ringkas — "Takut apa tu?" dan jawapan dari dia — "Takut kehilangan…", saya jadi mahu tahu, mahu dengar, dan akhirnya, mahu menyanyi bersama.

Dia sudah rakam bahagiannya lebih awal. Suaranya kedengaran biasa, tapi saya dapat rasa satu kelukaan yang dalam, dalam getaran suaranya. Bukan ralat teknikal. Bukan sekadar nada. Tapi macam seseorang yang menyanyi bukan untuk didengari, tapi untuk melepaskan.

Saya dengar berkali-kali. Dari petang hingga malam. Saya juga ulang di YouTube, cuba hayati bait-baitnya. 

> *“Aku takut kehilangan dirimu…”*

Akhirnya saya lengkapkan bahagian saya, dan tulis di komen rakaman kami, "Dah setel."

Dia balas tak lama kemudian. "Sedap. Terhibur sangat. Saya hargai sangat-sangat."

Dan saya, tanpa sedar, mula rasa aneh. Kenapa lagu ini melekat dalam kepala? Apa sahaja yang saya buat hari ini tanpa sedar, sentiasa humming lagu ni. Serius.. Kenapa suara dia tinggal dalam kepala saya lebih lama dari sepatutnya? Adakah kerana saya simpati? Atau kerana saya sebenarnya juga pernah sunyi, dan suara itu membalas kesunyian saya sendiri?

Dia panggil saya adik. Saya pula panggil dia kakak. Dari caranya menyanyi, cara dia menulis, dan video-video nyanyiannya, saya agak dia lebih tua dari saya, mungkin sepuluh tahun atau lebih. Saya tidak tahu status dirinya. Tapi saya tahu satu perkara: dia sunyi. Dan saya faham rasa itu, sebab saya juga pernah berada di tempat yang sama.

Tadi dia komen, katanya tak sihat. Batuk dan selsema. Tapi jauh sebelum itu pun, dalam suaranya sudah ada "sakit" yang lain. Bukan pada kerongkong. Tapi mungkin di hati. Dia pernah tulis — menyanyi kerana sunyi.

Dan saya dengar kerana faham.

Saya bukan mahu lebih dari ini. Tidak berniat mengganggu hidup sesiapa. Tapi pertembungan ini, walau sekejap, dan walau tidak pernah dirancang, ada kesannya. Dan catatan ini, mungkin satu-satunya cara untuk saya beri penghormatan pada suara yang buat saya berhenti — dan rasa.

Mungkin kerana saya tidak pernah merasai kehadiran seorang kakak, jadi rasa ini menjadi terlalu asing, tapi penuh dengan makna. Rasa mahu melindungi. Rasa mahu mendengar lebih lama. Rasa mahu orang itu tahu, yang dia tidak bersendirian menghadapi sebarang kemungkinan . Walau dalam bentuk suara, rakaman, atau sekadar komen pendek yang jarang berbalas.

Saya tidak tahu bila lagi kami akan bersuara dalam lagu yang sama. Tapi satu rakaman itu, satu petang itu, satu kesepian yang bertemu satu lagi kesepian… akan kekal dalam hati saya sebagai bukti bahawa kadang-kadang, sunyi juga ada suaranya. Dan ia bernyanyi.


✍️Nota penulis: Catatan ini ditulis sebagai refleksi peribadi, bukan untuk menimbulkan salah faham atau spekulasi. Nama "nurcinta_19" hanya disebut berdasarkan pengalaman sebenar saya ketika berinteraksi di platform Smule,aplikasi karaoke interaktif yang membolehkan sesiapa saja menyanyi bersama, meski berjauhan — dan tidak lebih daripada itu. 

Saya tidak mengenali beliau secara peribadi, tidak tahu latar belakang atau kehidupan sebenar beliau, malah tidak pasti sama ada beliau telah berkeluarga atau tidak. Apa yang saya kongsikan di sini hanyalah pengalaman saya mendengar nyanyiannya yang menyentuh hati, dan bagaimana lagu yang tidak pernah saya kenali sebelum ini akhirnya menjadi teman kepada rasa dalam diri. Jika catatan ini sampai kepada beliau, saya berharap beliau tidak salah faham – saya cuma penulis kecil yang mendengar, dan memahami sedikit dari suara yang mungkin tidak pernah berniat untuk difahami. Saya doakan beliau sentiasa sihat, tabah dan tenang, dalam sunyi ataupun suara. 🙏


💬 Pernahkah anda mendengar satu suara yang menyentuh hati anda tanpa sebab yang jelas? Atau menyanyi kerana tiada siapa lagi yang sudi mendengar? Kongsikan kisah anda di ruangan komen. Mungkin, di luar sana masih ada lagi orang lain yang juga sedang mendengar… dan cuba memahami.

Terima kasih kerana membaca hingga ke noktah terakhir. Jika anda suka tulisan begini, jangan lupa untuk menerokai dan membaca koleksi artikel pilihan saya yang lain — semuanya ditulis dengan hati dan jiwa.

Jangan lupa juga untuk langgan blog ini agar anda tidak terlepas sebarang catatan baru yang mungkin berbicara terus ke hati anda.

✍️ Ditulis oleh Eamyz Remy Jalal — seorang penulis bebas yang menulis dari hati, tentang hidup, rasa dan cerita kecil yang ada makna.
Kenali Remy lebih lanjut →

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa Itu Cinta, Bila Kita Perlu Ingat Diri

  “Kadang-kadang cinta bukan datang untuk dimiliki — tetapi untuk menguji cara kita menjaga diri.” Apa Itu Cinta, Bila Kita Perlu Ingat Diri Cerita Kehidupan • Refleksi tentang rasa, batas, dan kesedaran Ada puisi yang tidak datang untuk disorak, tetapi untuk dibaca perlahan-lahan — seperti seseorang yang mengetuk pintu hati dengan jari yang sopan. Puisi begini tidak menjerit, tidak memujuk, dan tidak meminta simpati. Ia hanya menceritakan satu perkara yang paling jujur: rasa . Puisi kiriman Umi ini seakan menyebut cinta sebagai sesuatu yang hadir tanpa diduga — datang “tanpa suara atau kata”, lalu tiba-tiba memenuhi ruang dalam diri. Namun yang menjadikannya istimewa bukan sekadar rindu dan sakit yang ditulis, tetapi satu kesedaran yang matang: bila rasa itu semakin kuat, manusia perlu ingat diri . ...

Apa Saya Belajar Dari Ella Edisi Khas: Ratu Rock dan Hati Yang Pemalu

Bila hati belajar, hidup pun berubah. 🎓Apa Saya Belajar Dari Ella -  Edisi Khas: Ratu Rock dan Hati Yang Pemalu  Grafik Khas "Apa Saya Belajar Dari Ella"_ satu penghormatan kepada Ratu Rock Malaysia yang membuktikan bahawa menjadi pemalu juga boleh jadi luar biasa.(Bukan gambar sebenar) 📝 Nota Penulis: Ini adalah entri pertama dalam siri Apa Saya Belajar Dari.... dan saya memilih untuk mulakan dengan seseorang yang sangat istimewa di hati saya_ Ella, Ratu Rock Malaysia. Ia bukan sekadar tentang minat terhadap muzik, tetapi lebih kepada pelajaran tentang kehidupan yang saya kutip dari kehadiran dan kisah beliau sepanjang tahun. Entri ini lebih panjang daripada biasa kerana ia juga adalah surat terbuka, pengakuan, dan penghargaan kepada seorang selebriti yang secara tidak langsung telah menemani perjalanan saya dari kecil hingga dewasa. Dari Jempol ke Dinding Rumah  Saya mula mengenali Ella bukan secara langsung dari pentas besar, tetapi melalui kaca tele...

Dari Bisa ke Cinta: Kisah Romantis Ratu Medusa dan Xiao Yan dalam Dunia Battle Through The Heavens

Dari Bisa ke Cinta: Kisah Romantis Ratu Medusa dan Xiao Yan dalam Dunia  Battle Through The Heavens Simbol cinta dalam dunia pergolakan — ilustrasi Ratu Medusa dan Xiao Yan yang menggambarkan transisi dari permusuhan kepada kasih sejati. Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca!  Masih ingat lagi anime-aksi popular yang penuh debaran dan emosi, Battle Through the Heavens (BTTH)  ? Jika anda peminat dunia penuh seni bela diri, pertarungan epik, dan emosi mendalam, artikel ini ditulis khas buat anda! Kali ini kita akan menyelami sisi yang lebih peribadi dalam dunia BTTH- iaitu kisah cinta antara dua watak yang sangat berbeza latar belakang dan asal-usul, namun dipertemukan takdir: Ratu Medusa( Cai Lin) dan Xiao Yan. Bukan sekadar kisah aksi, BTTH turut menyelitkan elemen cinta yang mencengkam hati.  Bagaimana Aku Mengenali BTTH? Perkenalan aku dengan Battle Through the Heavens berlaku kira-kira kira-kira empat tahun lepas- secara ti...