Catatan Awal Pagi #11 — Kelam Kabut, Hujan & Hati yang Menahan

✍️ Catatan Awal Pagi #11 — Kelam Kabut, Hujan & Hati yang Menahan


Seorang lelaki bermuka gelisah memandu dalam hujan, dengan tangan menggigil di atas stereng kereta, menggambarkan tekanan emosi dan keletihan dalam menghadapi tanggungjawab harian
Dalam hujan dan keheningan pagi, Aku memandu dengan wajah gusar_ antara takut, letih dan tanggungjawab yang tak pernah memilih waktu. 



Pagi ini saya sendiri sebenarnya tak tahu nak mula dari mana.
Mungkinkah dari mimpi yang tak sempat saya habiskan? 
Atau dari bebelan mak yang saya tahu tak bermaksud untuk melukai hati sesiapa?
Atau dari mata yang layu sebab tak sempat nak lelap walau jam sudah menghampiri ke pukul 6 pagi , selepas selesai sesi Smule dan solat subuh?

Tapi apa pun, pagi ini... semuanya memang kelam kabut dan serba tak kena. 
Hati saya rasa sangat sesak, dada terasa sempit, dan perasaan pula... bercampur baur macam cuaca yang sedang gerimis di luar rumah. 

Dan kemudian, berita yang selalu datang lambat: “Adik tak dapat hantar mak.”
Padahal dari semalam lagi kami tahu mak ada checkup bulanan. Tapi tiada tindakan yang diambil , tiada peringatan yang diberikan , dan tiada rasa tanggungjawab yang dizahirkan.
Saya tak suka marah sebenarnya . Tapi hari ini, rasa itu datang tanpa diundang.

Ini kerana saya pula yang terpaksa bangun, cergaskan diri, dan bersiap dalam keadaan kepala yang berat dan tangan yang menggigil — bukan sebab cuaca sejuk di luar rumah, tapi sebab sudah hampir dua tahun lamanya saya tak memandu kereta .

Dan mak? Dia tak tahu pun saya sebenarnya takut. Selama ini dia hanya nampak saya banyak berdiam. Dan diam itu, selalunya disalah ertikan. 


🌀 Kita Selalu Jadi Yang "Kena" Bila Yang Sepatutnya Tak Ambil Peranan

Adik saya mungkin tak sengaja.
Mungkin dia sendiri rasa terbeban dengan kerja.
Tapi sebagai anak sulung, memang saya selalu jadi tempat jatuhnya semua keputusan yang tergendala.

Saya jadi seorang pelaksana, walaupun tak pernah diberikan mandat.
Saya jadi penenang hati orang lain, walaupun hati sendiri tak tenang.
Saya jadi pemandu, walaupun tangan saya sendiri sudah lupa bagaimanakah rasa memegang stereng kereta itu.

Dulu, pernah sekali saya terpaksa berhenti di tepi jalan sebab tangan saya menggigil sangat. Saya juga pernah menangis sendirian, dalam kereta. Satu perasaan trauma kecil yang tak pernah saya ceritakan pada sesiapa.

Tapi pagi ini, takdir tetap memilih saya.
Dan saya, dengan segala kekurangan dan keletihan — tetap jalan.

🌧️ Hujan di Luar Sama Seperti Hati Saya

Sewaktu mak bebel dalam kereta, saya cuma diam.
Bukan kerana saya setuju, tapi sebab saya letih.
Letih untuk menjelaskan.. 
Letih untuk jadi orang tengah.. 
Letih untuk mengatur semuanya..

Saya tahu mak marah bukanlah sebab saya.
Tapi saya juga seorang manusia.
Saya pun ada hati dan perasaan. 
Saya pun perlukan satu Pelukan hangat, bukan hanya sekadar tanggungjawab.

"Mak tanya kenapa saya diam. Saya cuma tersenyum nipis. Dalam hati, saya berteriak: 'Mak… saya takut. Tapi saya tak nak mak tahu.'"

Dalam kepala saya pula asyik ulang satu ayat yang sama:
“Aku pun penat, mak… tapi takkan nak tinggal mak sorang.”


🚙 Memandu Bukan Sekadar Jalan, Tapi Juga Perjalanan Jiwa

Waktu kereta mula bergerak, saya terasa macam diri ni tengah 'drive' hidup saya sendiri semula.
Selama ini saya banyak 'parkir' — menjalani hidup dalam auto-mode, dan melalui hari-hari tanpa rasa.

Tapi hari ini, semua rasa itu datang.
Sakit, lelah, takut, marah, semuanya muncul.
Dan saya... belajar untuk menguruskan semua tu dalam diam.

Dalam perjalanan tadi, saya buka radio dan terdengar ayat Surah Al-Insyirah:

"Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan."

Saya terdiam, dan dada saya terasa sedikit lapang.


🪞️ Refleksi Buat Diri Sendiri, Dan Mungkin Buat Kamu Juga

Kadangkala , kita rasa dunia ini tak adil sebab kita selalu jadi penyelamat — bukanlah sebab kita hebat, tapi sebab tak ada orang lain lagi yang nak ambil peranan tu.
Dan lebih sedih dan pedih lagi bila orang yang telah kita bantu itu langsung tak nampak penat kita, apatah lagi untuk menghargainya. 

"Dulu masa kecil pun sama. Kalau adik pecahkan pasu bunga, saya yang kena rotan sebab tak jaga mereka. Sekarang dah besar pun, skripnya tak banyak berubah."

Tapi mungkin… itu tanda kasih sayang Allah.
Mungkin Allah tahu, hanya kita yang mampu hadapi.
Dan walau kadang kita sendiri hampir tersungkur, Tuhan tetap beri kekuatan yang aneh — yang datang entah dari mana.


🖋️ Nota Peribadi Penulis

Hari ini saya tak kuat. Tapi saya tetap pilih untuk buat yang terbaik. Dan menulis catatan ini adalah sebahagian dari cara saya untuk memeluk diri sendiri. Kalau anda rasa catatan ini mewakili perasaan anda sendiri , sudi-sudikan kongsi. Mungkin ada jiwa yang sedang tenggelam, dan tulisan ini boleh jadi pelampung kecil buat mereka.

Saya jarang berkongsi sisi hidup yang gelap, takut disalah anggap sebagai mengeluh. Tapi ada pagi-pagi tertentu, saya tahu saya bukan satu-satunya orang yang rasa begini. Dan menulis catatan ini sedikit sebanyak menenangkan perasaan saya. 
Jika kamu juga merasa terbeban dengan tanggungjawab, dengan keluarga, dengan peranan yang bukan kamu pilih — ketahuilah, kamu tak bersendirian . Saya faham dan saya doakan anda juga akan diberikan kekuatan untuk terus ‘drive’ hidup anda sendiri.

📖 Bacaan Berkaitan:

📅 Akhir Kata

Kalau anda rasa tulisan ini menyentuh hati anda,

Kongsikan catatan ini dengan seseorang. Siapa tahu, mungkin ada hati lain yang sedang menunggu bait-bait yang mewakili rasa mereka.


💬 Pernah tak anda mengalami hari yang rasa macam semua beban jatuh ke atas diri anda seorang?

Dan jika anda ingin dan sudi untuk berkongsikan kisah anda dengan saya, ruangan komen di bawah sentiasa terbuka buat anda semua. Saya akan baca satu per satu, insya-Allah.

 Atau anda boleh emel kan terus kisah anda secara peribadi kepada saya di:

➡️ Klikakupunyacerita@gmail.com 


Saya sudi membaca, dan saya juga sudi untuk memahaminya dengan hati dan fikiran yang terbuka . Oleh itu, anda tidak perlu risau tentang rasa takut untuk dihakimi. 

Terima kasih kerana membaca hingga ke titik ini. 

📍Akupunyacerita.com |Eamyz Remy Jalal. 

Ulasan