Langkau ke kandungan utama

Catatan Awal Pagi #9: Sepi Itu Sebuah Rumah, Aku Penghuninya

🌅Catatan Awal Pagi #9: Sepi Itu Sebuah Rumah, Aku Penghuninya

Seorang lelaki muda duduk bersendirian di tepi tingkap dengan cahaya pagi yang suram, melambangkan kesepian dan renungan dalaman.
“Dalam sunyi, kita belajar mengenal diri sendiri.” – Catatan Awal Pagi #9



Tentang Siri Catatan Awal Pagi

Catatan Awal Pagi adalah ruang renungan yang saya cipta — bukan untuk memberi nasihat, tetapi untuk jujur dengan diri sendiri. Ia adalah surat terbuka dari hati yang tidak selalu tenang, kepada sesiapa yang juga mencari makna kehidupan dalam diam. Setiap catatan ini lahir daripada waktu-waktu yang paling sunyi, di saat suara luar hilang dan suara dalam diri menjadi paling jelas.

Jika anda pernah bangun pagi dan merasakan ada sesuatu yang hilang walaupun segalanya kelihatan baik-baik sahaja, anda sememangnya tidak keseorangan. Siri ini adalah untuk kita yang selalu menahan tangisan dalam senyap, dan yang mengetahui bahawa tidak semua luka mesti ditunjukkan untuk diubati.

Sepi Itu Sebuah Rumah

Sepi itu bukan sekadar perasaan. Ia adalah satu ruang. Sebuah rumah tanpa dinding yang terlihat, tetapi kita tahu kita berada di dalamnya. Ada pagi-pagi tertentu, aku bangun bukan kerana segar, tetapi kerana terlalu lama terjaga. Dunia di luar jendela mungkin sibuk, tetapi dunia dalam diriku sendiri terasa amat lengang sekali . Aku terus berjalan ke dapur, membancuh kopi dan duduk di meja — tidak bercakap dan tidak bersuara. Hanya membisu dan memerhatikan alam di sebalik jendela. 

Aku pernah untuk mencuba lari daripada semua kesepian ini. Cuba mencari suara, mencari manusia dan juga mencari perhatian. Tapi sepi itu seperti bayang-bayang. Bila lampu terpadam, dia pasti akan menelan semuanya. Dan aku sedar, bahawa kadangkala bukan dunia ini yang terlalu sepi, tetapi aku yang kosong sebenarnya. Aku yang selama ini, yang tidak benar-benar ada dalam hidupku sendiri.

Mengenal Diri Dalam Diam

Ada satu masa, pernah aku terfikir bahawa kesepian ini satu kelemahan. Bukti aku gagal bersosial,dan gagal untuk mengecapi bahagia. Tapi semakin lama aku duduk bersama kesepian ini, aku menjadi semakin sedar — ia sebenarnya bukanlah musuh. Ia adalah cermin. Dan dalam cermin itu, aku melihat diri yang selama ini tak sempat aku kenali semasa terlalu sibuk menjadi "orang lain".

Kesunyian mengajarku memaafkan diriku yang lemah. Yang kadangkala kalah pada tekanan, yang tidak selalu tabah, dan yang sering takut ditinggalkan. Ia juga memperkenalkan aku pada sisi yang lebih tenang — sisi yang tidak perlu menjelaskan apa-apa, hanya cukup dengan menjadi.

Hari-Hari Yang Terasa Berat

Tidak semua hari mudah. Ada pagi yang membuatku bertanya, "Kenapa aku masih di sini?" Dan jawapan itu tidak datang dalam bentuk motivasi hebat. Kadangkala ia hanya satu cawan kopi hangat, atau seekor burung yang hinggap di tingkap. Tanda bahawa walau kecil, hidup tetap bergerak. Dan aku masih punya ruang untuk merasa, bernafas, dan menulis.

Sepi juga mengajarku menghargai sesuatu yang kecil. Ucapan ringkas daripada teman, lagu lama yang tiba-tiba berbunyi di radio, atau doa yang ku bisik tanpa suara. Semua itu adalah cahaya kecil dalam rumah sepi yang luas ini. Aku tahu ia tidak akan mampu menghapuskan kegelapan, tapi sekurang-kurangnya ia boleh menciptakan ruang  untuk terus bertahan.

Seni Bertahan Dalam Sunyi

Ramai orang yang hidup dalam bising, tapi tetap sunyi. Aku belajar bahawa kekuatan bukan pada siapa yang paling kuat dan lantang berbicara, tapi pada siapa yang tahu bila perlu berdiam, dan belajar bagaimana untuk terus hidup dalam diam itu. Bukan semua luka perlu disembuhkan segera. Ada luka yang perlu dirasa dahulu, difahami, dan barulah akhirnya reda.

Dalam sunyi ini , aku belajar mengucap syukur — bukan kerana semuanya baik, tetapi kerana aku masih di sini. Masih diberi peluang untuk mengenali siapa diriku sendiri. Untuk terus menulis, walau dunia tidak membaca. Kerana kadangkala, menulis itu bukan untuk dibaca orang, tapi untuk mendengar diri sendiri.

Kepada Kamu Yang Membaca

Jika kamu juga sedang duduk dalam rumah sunyi itu, ketahuilah kamu tidak pernah keseorangan. Kita ramai di sini, dalam senyap yang sama. Dan sepi ini, walaupun berat, ianya bukanlah pengakhiran dari segalanya. Ia adalah satu ruang pemulihan, tempat kita semua belajar perlahan-lahan untuk mencintai diri kembali. Hari ini mungkin sunyi. Tapi esok masih belum pasti. Dan dalam ketidakpastian itulah masih ada lagi harapan yang tinggal.

Nota Penulis

Tulisan ini lahir bukan dari kekuatan, tetapi dari kesedaran. Bahawa tidak semua orang punya tempat untuk bercerita, dan tidak semua kesunyian ada penawarnya. Tapi berkongsi rasa ini, walau sedikit, mungkin mampu membuatkan seseorang merasakan diri mereka didengari dan difahami. Dan itu sudah cukup bagi saya.

🌿 Terima Kasih Kerana Membaca

Jika tulisan ini menyentuh hati anda, saya ingin menjemput anda semua untuk berkongsi catatan ini dengan rakan atau ahli keluarga yang lain, siapa tahu mereka juga bermungkinan sedang berjuang dalam senyap. Mungkin catatan ini dapat menemani mereka walaupun seketika.

Dan jika anda sememangnya meminati artikel berbentuk catatan awal pagi yang reflektif seperti ini, anda boleh meneruskan pembacaan anda pada artikel sebelum ini di dalam siri ini.

🌅 Siri Catatan Awal Pagi

Anda juga boleh terus melanggan blog ini untuk menerima catatan refleksi seperti ini secara berkala — hanya bila saya benar-benar punya sesuatu untuk dikongsi dari hati.

Terima kasih kerana sudi hadir walau dalam diam.

📍Akupunyacerita.com |Eamyz Remy Jalal 

✍️ Ditulis oleh Eamyz Remy Jalal — seorang penulis bebas yang menulis dari hati, tentang hidup, rasa dan cerita kecil yang ada makna.
Kenali Remy lebih lanjut →

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa Itu Cinta, Bila Kita Perlu Ingat Diri

  “Kadang-kadang cinta bukan datang untuk dimiliki — tetapi untuk menguji cara kita menjaga diri.” Apa Itu Cinta, Bila Kita Perlu Ingat Diri Cerita Kehidupan • Refleksi tentang rasa, batas, dan kesedaran Ada puisi yang tidak datang untuk disorak, tetapi untuk dibaca perlahan-lahan — seperti seseorang yang mengetuk pintu hati dengan jari yang sopan. Puisi begini tidak menjerit, tidak memujuk, dan tidak meminta simpati. Ia hanya menceritakan satu perkara yang paling jujur: rasa . Puisi kiriman Umi ini seakan menyebut cinta sebagai sesuatu yang hadir tanpa diduga — datang “tanpa suara atau kata”, lalu tiba-tiba memenuhi ruang dalam diri. Namun yang menjadikannya istimewa bukan sekadar rindu dan sakit yang ditulis, tetapi satu kesedaran yang matang: bila rasa itu semakin kuat, manusia perlu ingat diri . ...

Apa Saya Belajar Dari Ella Edisi Khas: Ratu Rock dan Hati Yang Pemalu

Bila hati belajar, hidup pun berubah. 🎓Apa Saya Belajar Dari Ella -  Edisi Khas: Ratu Rock dan Hati Yang Pemalu  Grafik Khas "Apa Saya Belajar Dari Ella"_ satu penghormatan kepada Ratu Rock Malaysia yang membuktikan bahawa menjadi pemalu juga boleh jadi luar biasa.(Bukan gambar sebenar) 📝 Nota Penulis: Ini adalah entri pertama dalam siri Apa Saya Belajar Dari.... dan saya memilih untuk mulakan dengan seseorang yang sangat istimewa di hati saya_ Ella, Ratu Rock Malaysia. Ia bukan sekadar tentang minat terhadap muzik, tetapi lebih kepada pelajaran tentang kehidupan yang saya kutip dari kehadiran dan kisah beliau sepanjang tahun. Entri ini lebih panjang daripada biasa kerana ia juga adalah surat terbuka, pengakuan, dan penghargaan kepada seorang selebriti yang secara tidak langsung telah menemani perjalanan saya dari kecil hingga dewasa. Dari Jempol ke Dinding Rumah  Saya mula mengenali Ella bukan secara langsung dari pentas besar, tetapi melalui kaca tele...

Dari Bisa ke Cinta: Kisah Romantis Ratu Medusa dan Xiao Yan dalam Dunia Battle Through The Heavens

Dari Bisa ke Cinta: Kisah Romantis Ratu Medusa dan Xiao Yan dalam Dunia  Battle Through The Heavens Simbol cinta dalam dunia pergolakan — ilustrasi Ratu Medusa dan Xiao Yan yang menggambarkan transisi dari permusuhan kepada kasih sejati. Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca!  Masih ingat lagi anime-aksi popular yang penuh debaran dan emosi, Battle Through the Heavens (BTTH)  ? Jika anda peminat dunia penuh seni bela diri, pertarungan epik, dan emosi mendalam, artikel ini ditulis khas buat anda! Kali ini kita akan menyelami sisi yang lebih peribadi dalam dunia BTTH- iaitu kisah cinta antara dua watak yang sangat berbeza latar belakang dan asal-usul, namun dipertemukan takdir: Ratu Medusa( Cai Lin) dan Xiao Yan. Bukan sekadar kisah aksi, BTTH turut menyelitkan elemen cinta yang mencengkam hati.  Bagaimana Aku Mengenali BTTH? Perkenalan aku dengan Battle Through the Heavens berlaku kira-kira kira-kira empat tahun lepas- secara ti...