Dulu Saya Ingat [Episod #1]: Kalau Telan Biji Tembikai, Akan Tumbuh Pokok Dalam Perut 🌱]
Kata Pengantar Siri: DULU SAYA INGAT…
Kalau anda terjumpa siri ini waktu anda tengah stres, selamat datang saya ucapkan. Anda memang berada di tempat yang betul.
Kalau anda sampai sini sebab nak carik motivasi, mungkin anda akan dapat juga… tapi bukanlah motivasi yang biasa anda dengar.
Ini kerana blog ni, sejak awal lagi memang banyak mengandungi entri yang serius. Seperti tentang hati, kehilangan, pencarian makna dalam hidup, dan perasaan yang tak selesai — dan semua tu masih penting. Tapi penat lah, dan korang mesti fikir Remy ni seorang yang selalu serius je,hakikatnya tidak begitu. Sometimes the opposite is true!
Oleh sebab itu, blog ni juga perlukan satu sudut untuk saya bernafas & have fun. Tempat di mana kita boleh tersenyum kecil. Satu tempat kita tak perlu nak jadi pandai sangat . Tempat kita boleh teringat balik versi diri kita yang kecil, kelakar, dan percaya benda yang pelik-pelik dengan penuh keyakinan.
Siri ini saya beri nama Siri “Dulu Saya Ingat…”
Satu ruang khas untuk kita sama-sama throwback semula ke zaman di mana kita masih percaya bulat-bulat:
- Jika kita tertelan biji = pokok akan tumbuh di dalam perut
- Kalau potong kuku waktu malam = hantu akan datang kacau
- Suka bersiul malam = nanti ular akan naik atas katil
Ya, zaman yang penuh logik aneh tapi hidup rasa lebih… magik. Dan percaya atau pun tidak — kadang-kadang, kita perlu balik ke versi tu untuk ingat siapa kita sebenarnya. Sebab masa tu aku pun sama, memang percaya habis dan bab imaginasi tu tak yah cerita la, sampai ke bulan.
Oleh itu,
Jangan cari petua bisnes atau teori hidup dalam siri ni. Memang anda tidak akan jumpa.Tapi silap hari bulan, anda bakal tersenyum sendiri — bila jumpa semula budak kecil dalam diri anda yang dah lama senyap..
Selamat membaca. Dan jangan lupa... check pusat anda tau lepas makan buah tembikai. Saja berjaga-jaga. 🌱
![]() |
“Muka cuak budak enam tahun yang baru tahu perut dia bakal jadi kebun tembikai, siap akar keluar ikut pusat.” |
[Siri: Dulu Saya Ingat...]
Episod 1: Kalau Telan Biji Tembikai, Akan Tumbuh Pokok Dalam Perut 🌱
Khas dibawakan oleh: Remy versi umur 6 tahun yang yakin dia bakal jadi ladang bergerak.
Masa umur 6 tahun, Remy tertelan biji tembikai. Masa tu tengah makan tembikai lepas balik sekolah, duduk bersila atas simen depan rumah Tok Wan. Tangan kiri pegang tembikai, tangan kanan pula pegang garfu plastik warna oren — garfu klasik kenduri kampung time tu.
Tengah seronok makan, sepupu yang duduk di sebelah buat lawak pasal lipas masuk seluar. Remy gelak kuat sangat sampai tak perasan: biji tembikai — masuk. Terus ke tekak. Tertelan.
Perkara pertama yang berlaku: Tok Wan pandang dengan pandangan seram + senyum misteri. Lepas tu dia cakap:
“Telan biji tembikai tu? Haa… nanti tumbuh pokok dalam perut. Akar dia keluar ikut pusat.”
Remy terus beku. Semua suara sepupu jadi mute. Angin pun macam insaf sekejap, serta-merta berhenti bertiup.
Tembikai atas tangan… dah tak rasa manis — rasa berat macam batu bata, siap nak jatuh.
Dalam kepala budak umur 6 tahun, terus keluar PowerPoint presentation:
- Fasa 1: Pokok bercambah dalam perut.
- Fasa 2: Akar keluar ikut pusat.
- Fasa 3: Daun keluar dari lengan baju sekolah.
- Fasa 4: Nama masuk surat khabar – "Budak Tembikai Hidup di Seremban".
Hari tu juga Remy buat keputusan besar — jangan cakap dengan sesiapa. Ini rahsia antara hidup dan mati. Kalau mak tahu, nanti kena bedah. Kalau cikgu pula tahu, nanti masuk show TV3.
Plan penyelamatan pun bermula:
- Minum air paip banyak-banyak. Kononnya boleh banjirkan pokok tu.
- Baring posisi melintang supaya biji ‘jatuh’ ke sisi dan tak bercambah.
- Google belum ada masa tu— jadi Remy tulis surat pada pokok, letak bawah bantal: “Tolong jangan tumbuh ya. Saya budak baik.”
Malam tu, Remy mimpi pelik. Remy mimpi ada pokok tembikai tumbuh keluar ikut pusat, dan Remy tengah siram air pakai botol susu. Siap cakap kat mak dalam mimpi, “Mak! Saya dah jadi kebun!”
Bangun pagi, terus periksa pusat. Rasa lega sikit sebab masih sama — dan tak ada daun. Tapi trauma masih belum selesai lagi ni.
Selama seminggu:
- Remy akan tolak makan semua jenis buah. “Mana tahu, ada biji tembikai yang menyamar.”
- Masa cikgu suruh buat lukisan buah-buahan, Remy lukis tembikai dengan akar. Cikgu cakap lukisan tu "unik".
- Waktu solat jemaah di sekolah, Remy tunduk lebih daripada biasa. Kononnya nak lindung perut kalau-kalau ada pucuk tembikai keluar masa rukuk.
Sepupu Remy pulak jadi makin kreatif. “Nanti kalau dah besar pokok tembikai tu, kena panggil bomba tau. Sebab buah tembikai berat. Kalau jatuh dari pusat, sakit woo.”
“Remy pun terus diam seribu bahasa. Biji dah telan, nasi dah jadi bubur.”
“Takpe. Saya akan pakai tali pusat spare.” itu jawapan yang Remy mampu beri.
Tapi akhirnya...
Budak enam tahun tu akhirnya terima — dia bukanlah bakal peladang tembikai organik dalam badan sendiri.
Tapi kesannya? Sampai sekarang, bila makan tembikai, Remy pasti:
- Akan asingkan biji macam ahli sains.
- Periksa setiap gigitan macam detektif.
- dan masih pandang pusat kadang-kadang, just to be sure..
Mitos zaman budak-budak memang gila. Tapi kita percaya 100%.
Remy percaya:
- Telan chewing gum = Usus akan tersumbat seumur hidup.
- Potong kuku waktu malam = hantu ketuk tingkap bilik tidur.
- Siul malam = ular naik katil.
- Tidur lepas Maghrib = mimpi kahwin dengan pontianak.
Tapi... semua tu lah buat zaman budak-budak rasa penuh warna. Penuh drama. Tak logik, tapi bahagia.
Moralnya?
Kita mungkin dah besar, tapi dalam diri kita, masih ada versi kecil yang takut pokok tumbuh dalam perut. Versi yang percaya cakap Tok Wan lebih daripada sains. Versi yang panik bila perut bunyi — bukan sebab lapar, tapi sebab "eh... ni daun ke?"
Itu lah versi kita yang tak banyak soal dunia, tapi penuh percaya.Yang patut kita ingat… bila hidup hari ini terlalu serius.
📝 Nota Penulis
Kadang-kadang saya rindu versi diri saya yang dulu — yang mudah percaya, mudah takut, dan mudah terhibur dengan benda remeh.
Hari ni, kita mungkin dah terlalu serius. Tapi dalam senyap, saya masih percaya…
ada bahagian kecil dalam diri kita yang masih budak enam tahun — yang takut pokok tumbuh dalam perut sebab telan biji tembikai.
_E. Remy. J🌿
📩 Korang pula?
Pernah ke percaya pada benda pelik masa kecik? Jom share dengan Remy kat ruangan komen — mana tahu cerita korang masuk episod #2. Remy pun tengah kumpul mitos untuk laugh therapy nasional!
Selain itu korang juga boleh subscribe blog ini untuk menerima lebih banyak cerita seperti ini yang akan diterbitkan secara berkala.
Jumpa lagi minggu depan. Tapi sebelum tu... siapa makan tembikai minggu ni, jangan lupa check pusat ya. Mana tahu... dia dah bercambah. 🌱
✍️ Ditulis oleh Eamyz Remy Jalal — seorang penulis bebas yang menulis dari hati, tentang hidup, rasa dan cerita kecil yang ada makna.
Kenali Remy lebih lanjut →
Ulasan