Healing Spontan di Pantai Puteri, Melaka: Cuti Aidiladha Tanpa Rancang Tapi Menenangkan

Healing Spontan di Pantai Puteri, Melaka: Cuti Aidiladha Tanpa Rancang Tapi Menenangkan 



Gambar pokok ru di pantai Puteri, Melaka dengan laut sebagai latar belakang
"Pantai Puteri menyambut kami dengan bayu lembut dan suasana damai."



Hari ini aku buat sesuatu yang luar biasa bagi diriku ini_ keluar rumah tanpa sebarang perancangan rapi. Mungkin bagi sesetengah orang itu perkara biasa, tapi bagi aku yang terbiasa hidup dalam rutin, tersusun dan penuh checklist, ini satu langkah besar. Lebih-lebih lagi selepas beberapa hari rasa penat yang sukar digambarkan. Burnout, kata orang.

Biasanya bila cuti umum, aku lebih selesa duduk di rumah. Rehat fizikal dan mental kononnya, walaupun hakikatnya kadang cuma duduk di ruang tamu sambil scroll media sosial tanpa hala tuju. Tapi entah mengapa, Hari ini rasa lain. Aku ikut kata hati_ atau lebih tepat, aku ikut instinct_ dan tanpa berfikir panjang aku terus bersetuju bila keluarga ajak ke Pantai Puteri, Melaka.



Perjalanan Bermula: Dari Jempol ke Pantai Puteri 

Kami memulakan perjalanan agak awal dari Jempol, Negeri Sembilan. 7 orang dewasa dan 3 orang kanak-kanak dalam dua buah kenderaan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit. Laluan kami menemui jalan kampung dan juga lebuh raya, dan alhamdulillah lalu lintas sangat tenang hari ini. Mungkin kerana ramai yang masih dalam mood Aidiladha dan kebanyakan orang lebih memilih untuk berada di rumah bersama keluarga.

Sambil memandu, aku perasan satu perkara_ suasana pagi yang tenang di jalan raya memberi satu rasa damai yang dah lama aku tak rasa. Tiada bunyi hon, tiada kelam kabut dan tiada kesesakan. Cuma deruan angin dan bunyi kanak-kanak bermain di belakang kereta. Kadang-kadang kita lupa, perjalanan itu sendiri boleh menjadi sebahagian daripada healing, bukan semata-mata destinasi.




Dompet terbuka dengan beberapa nota Ringgit Malaysia.
"Healing tak semestinya mahal_ cukup sekadar keluar dari rutin."




Sampai di Pantai Puteri: Angin, Laut dan Ketenteraman 

Setibanya kami di Pantai Puteri, aku rasa seperti diberi satu nafas baharu. Deruan ombak menyapa telinga, pohon-pohon ru melambai lembut, dan pasir yang memutih menghampar luas seolah-olah menjemput kami semua untuk berehat dari dunia yang sibuk. Tempatnya tidak terlalu sesak, cukup untuk merasa tenang tanpa rasa sunyi.

Anak-anak mula berlari ke arah pantai, membina istana pasir dan mengejar ombak. Orang dewasa pula mencari tempat berteduh, menghampar tikar dan membuka bekalan yang sempat dibawa. Aku hanya duduk di bawah pokok ru, memerhati. Dan buat pertama kali dalam beberapa minggu, aku tidak merasa perlu membuka telefon bimbit atau menyemak e-mel. Rasa seperti masa terhenti seketika.




Foto keluarga Nor Jalal, healing di Pantai Puteri, Melaka.
Foto kenangan di pantai Puteri, healing santai!😊








Misi Makan: Bila Kedai Semua Tutup!

Satu-satunya perkara yang kami tidak jangkakan_ semua kedai makan sekitar pantai tutup sempena Aidiladha. Kami rancang mahu makan ikan bakar atau makanan laut segar, tapi semuanya seperti tidur lena hari ini. Puas pusing kawasan, semua gerai tutup rapat. Kami berasa agak kecewa pada mulanya, tapi kami akur.

Akhirnya kami ambil keputusan untuk bergerak ke bandar Melaka dan singgah di pasaraya Lotus's Cheng. Di situ, food court masih beroperasi dan kami dapat juga menjamu selera. Walaupun bukan makanan laut seperti yang diimpikan, nasi ayam, dan mi goreng panas tetap terasa nikmat setelah penat bermain di pantai. Kadang-kadang, rezeki itu bukan pada tempatnya_ tapi pada rasa syukur dalam diri.



Bila Healing Tak Dirancang Menjadi Sempurna 

Hari ini aku benar-benar belajar satu perkara penting: kadang-kadang, healing tak perlu dirancang terlalu rapi. Ada waktunya, semakin kita rancang, semakin tak menjadi. Tapi bila kita lepaskan diri dari keperluan untuk mengawal segala-galanya, kita sebenarnya memberi ruang untuk perkara indah berlaku secara semula jadi.

Tanpa jadual ketat, tanpa itinerari, tanpa Google Maps pun untuk ke tempat tertentu_ kami cuma ikut gerak hati. Dan ia menjadi.

Melihat gelagat anak-anak, senyum adik-beradik, mak yang ketawa besar, semua itu mengubat rasa letih dalam diri. Aku sedar, dalam mengejar produktiviti dan kejayaan, aku dah lama abaikan keperluan asas diri sendiri_ untuk berehat, untuk rasa hidup dan untuk hadir sepenuhnya dalam saat sekarang.



Refleksi Diri: Burnout Itu Nyata 

Beberapa minggu ini, aku terlalu fokus menyiapkan artikel demi artikel. Menyusun strategi blog, mencari peluang AdSense, mengejar trafik dan konsistensi. Walaupun nampak seperti produktif, sebenarnya dalam diam aku sedang kehabisan diri. Setiap pagi rasa berat dan setiap malam rasa kosong.

Hari ini, bila aku duduk menghadap laut, semua rasa berat itu mula terangkat sedikit demi sedikit. Seolah-olah ombak mengambilnya dan membawanya pergi jauh ke tengah laut. Aku tahu, healing bukan berlaku sekali dan selesai. Tapi sekurang-kurangnya, hari ini aku buat satu langkah kecil untuk pulih.



7 Sebab Kenapa Healing Spontan Patut Dicuba:


  1. Mengurangkan Tekanan Perancangan - Bila tak perlu susun jadual yang ketat, kita akan berasa lebih tenang.
  2. Lebih Jujur Dengan Emosi - Kita akan lebih mengikut naluri dan bukan untuk keperluan media sosial.
  3. Jimat Belanja - Tiada tiket dan tiada kos hotel, cuma minyak dan belanja makan yang biasa.
  4. Boleh Buat bila-bila - Tak perlu tunggu cuti panjang, cukup dengan adanya cuti umum seperti Aidiladha ini.
  5. Dekat Dengan Keluarga - Kita bukan sahaja healing sendirian tetapi juga dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.
  6. Mendekatkan Diri Dengan Alam - Suasana Semula jadi yang sangat menenangkan, tidak mengira di mana kita berada 
  7. Menyedarkan Kita Apa Yang Penting - Bila kita jauh dari rutin harian, kita akan menjadi semakin faham tentang nilai sebenar hidup ini.


Tips Untuk Healing Spontan Tapi Selesa:


  • Pastikan kereta berada dalam keadaan baik.
  • Isi penuh minyak kereta sebelum keluar.
  • Bawa bekalan asas : seperti air mineral, makanan ringan, tisu, tikar dan lain-lain.
  • Bersedia untuk sebarang perubahan plan.
  • Jangan terlalu bergantung pada restoran_ bawa roti atau biskut sendiri dari rumah.
  • Nikmati detik healing, bukan sekadar hanya ambil gambar.


Penutup: Bila Jiwa Dah Lama Tak Berehat 

Aku pulang ke rumah malam ini dengan tubuh yang letih, tapi dengan jiwa yang terasa ringan. Dan itu jauh lebih berharga daripada sebarang pencapaian atau angka trafik blog. Kadang-kadang, cuti umum seperti hari ini bukan semata-mata untuk perayaan_ tapi juga peluang untuk kita bernafas semula.

Jika anda yang membaca ini sedang rasa letih, atau hampir putus asa_ mungkin itu petanda untuk anda keluar seketika. Tak perlu tunggu sempurna. Tak perlu tunggu semua orang setuju. Kadang, ikut saja kata hati. Seperti aku hari ini.

"Rehat bukan satu kelemahan, ia adalah satu keperluan."

Dan hari ini, aku bersyukur kerana aku telah mengikut instinct itu.

✍️ Ditulis oleh Eamyz Remy Jalal — seorang penulis bebas yang menulis dari hati, tentang hidup, rasa dan cerita kecil yang ada makna.
Kenali Remy lebih lanjut →

Ulasan

  1. Waa.. besttnya weyyy! Mesti segar je badan ase pas healing tuh

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. Betul sangat... benda kalau dirancang jarang nak menjadi... perkongsian yang bagus... saya pun nak cuba lah healing spontan ni... nak hilangkan semua tekanan yang ada...

    BalasPadam

Catat Ulasan

Terima kasih kerana baca sampai sini. Kalau ada rasa yang sama, pengalaman serupa, atau sekadar nak tinggalkan jejak_ saya hargai sangat. Jangan segan, komen je😌